Jangan kamu hampiri vs Jangan kamu melampaui 

Allah SWT mengungkapkan dua ayat yang secara kasarnya kelihatan sama. Namun sebaliknya, kedua-dua ayat tersebut bertentangan sama sekali maksud dan konteksnya.

 

1) Ayat yang pertama dalam Surah al-Baqarah, 187:

 

تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقۡرَبُوهَا

“Itulah batas-batas (hukum) Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.”

 

2) Ayat yang kedua dalam Surah al-Baqarah, 229: 

 

تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ 

“Itulah batas-batas (hukum) Allah, maka janganlah kamu melampaui batasannya.”

 

Ayat yang pertama, Allah SWT ungkapkan فَلَا تَقۡرَبُوهَا (maka janganlah kamu hampirinya), manakala ayat yang kedua pula Allah SWT ungapkan فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ (maka janganlah kamu melampauinya).

 

Apakah perbezaan antara kedua-duanya? Kenapakah salah satunya diungkapkan dengan ‘jangan kamu menghampirinya’ dan yang satu lagi diungkapkan dengan ‘jangan kamu melampauinya’? Apakah batas-batas larangan Allah SWT yang Dia minta sekalian hamba-Nya agar tidak dihampiri dan tidak dilampaui? 

 

Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, selain ayat 187 Surah al-Baqarah iaitu larangan bersetubuh dengan isteri ketika sedang dalam iktikaf yang diungkapkan sebagai ‘jangan kamu hampiri’, terdapat beberapa lagi larangan yang juga diungkapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dengan ‘jangan kamu hampiri’ iaitu:

 

1. Jangan kamu hampiri solat dalam keadaan kamu mabuk (Surah al-Nisaa’ : 43)

2. Jangan kamu hampiri perkara yang keji (Surah al-An’aam : 151)

3. Jangan kamu hampiri (pecah amanah) harta anak yatim (Surah al-An’aam : 152)

4. Jangan kamu hampiri zina (Surah al-Israa : 32)

 

Persamaan antara kesemua larangan Allah SWT dalam ayat-ayat tersebut adalah manusia diminta agar tidak sesekali melakukan perkara yang boleh menjebakkan dirinya dalam perkara-perkara tersebut.

 

Semua perkara tersebut perlu dijauhi sebagai gambaran bahawa larangan-larangan tersebut berada dalam suatu batasan atau pagar, dan manusia berada di luar. Oleh itu, manusia diminta agar jangan sesekali menghampiri batas larangan tersebut apatah lagi memasukinya.

 

Sementara itu, selain ayat 229 Surah al-Baqarah yang diungkapkan dengan jangan kamu melampaui batasan dalam perihal talak dan khuluk (perceraian suami isteri), terdapat ayat-ayat lain yang turut menggunakan ungkapan seumpama dengannya iaitu:

 

1. Jangan kamu melampau dalam peperangan (Surah al-Baqarah : 190)

2. Jangan kamu melampau dalam perihal harta pusaka (Surah an-Nisaa’ : 11 – 14)

3. Jangan kamu melampau dalam mengharamkan perkara yang halal (Surah al-Maidah : 87)

4. Jangan kamu melampau dalam perihal talak dan idah (Surah at-Talaq : 1)

 

Kesemua ayat tersebut menjelaskan perkara-perkara yang Allah SWT halalkan serta syariatkan bagi hamba-hamba-Nya. Secara umumnya, manusia diminta patuh akan segala aturan dan ketetapan tersebut dengan tidak sewenang-wenangnya melakukan perkara yang Allah SWT haruskan tersebut secara melampau.

 

Sebagai gambarannya, manusia terikat dengan semua peraturan tersebut serta tidak boleh melampaui batasannya dengan keluar daripada apa yang telah ditetapkan.

 

Kesimpulannya, semua perkara yang Allah SWT larang yang mesti dijauhi dan tidak boleh dihampiri diungkapkan dengan ‘jangan kamu menghampirinya’, sedangkan semua perkara yang Allah SWT haruskan dengan aturan-aturan tertentu yang perlu dipatuhi tanpa melanggar batasannya diungkapkan dengan ‘jangan kamu melampauinya’.

 

Demikianlah Allah SWT mengungkapkan segala keterangan-Nya dengan begitu teliti. Sungguhpun adakalanya dilihat seakan-akan sama, namun ia tidak serupa. 

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman
Timbalan Pengerusi
JK Tarbiah & Modal Insan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia