Jadikan Kesihatan Mental Satu Prioriti Global

Jadikan Kesihatan Mental Satu Prioriti Global | IKRAM

Kenyataan Media Psikospiritual IKRAM (P.S.I)

Selamat Menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022

Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Mental untuk Semua Golongan Sebagai Satu Prioriti Global (Make Mental Health & Well-Being for All a Global Priority).

Ke Arah Negara Rahmah Yang Mesra Kesihatan Mental Semua Golongan

Psikospiritual IKRAM atau P.S.I (sebuah unit di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2022).

Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini ialah ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Mental untuk Semua Golongan Sebagai Satu Prioriti Global’ (Make Mental Health & Well-Being for All a Global Priority).

Banyak isu kesihatan mental yang semakin mencabar pada masa kini. Sebelum pandemik lagi pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) menganggarkan pada peringkat global, seorang daripada  lapan orang mengalami penyakit mental.

Pada masa yang sama perkhidmatan, skil dan dana yang ada untuk tujuan kesihatan mental penduduk global.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) sebelum pandemik iaitu tahun 2019, satu daripada tiga rakyat Malaysia dewasa berusia 16 tahun ke atas dan satu daripada lapan kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun Malaysia menderita masalah kesihatan mental. 

Perkhidmatan kesihatan mental profesional juga masih jauh daripada ideal; dan anggaran jumlah bilangan profesional yang berkaitan adalah seperti berikut:

▪︎ 360 orang pakar psikiatri di seluruh negara sama ada di sektor awam, swasta serta universiti sehingga tahun 2016;

▪︎ 33 orang pegawai psikologi klinikal yang berkhidmat di sektor awam seluruh negara pada tahun 2019; 

▪︎ 8,926 orang kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada akhir tahun 2019 untuk menguruskan 32.7 juta rakyat. (Nisbahnya 1 : 4,030 orang) 

Tugas kaunselor lebih tertumpu kepada populasi normal yang mempunyai masalah berkaitan kehidupan harian, kekeluargaan, sosial dan tempat kerja ataupun memberi terapi sokongan kepada pesakit mental.

Tetapi untuk mendiagnosis dan memberi rawatan profesional kepada pesakit mental, tugas ini terbeban kepada pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal yang jumlah bilangannya sangat sedikit.  Ini sebelum pandemik. 

Semasa pandemik, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental.

Pada tahun 2021, Malaysia mempunyai kira-kira 500 doktor pakar psikiatri dengan nisbah seorang pakar psikiatri untuk lebih kurang 100,000 orang.

Ini masih lagi jauh berbanding dengan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu seorang pakar psikiatri untuk 10,000 orang.

Pakar psikologi klinikal yang bekerja dalam perkhidmatan awam pula hanya berjumlah 48 orang, manakala jumlah pakar psikologi klinikal berdaftar secara keseluruhan adalah 300 orang. 

Psikospiritual IKRAM (P.S.I) percaya kepada pembangunan modal insan yang bersifat holistik untuk menangani isu kesihatan mental pelbagai lapisan rakyat merangkumi kesemua ranah (domain) biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual atau biopsikososial-spiritual.

Kesemua ranah sangat penting pada ketiga-tiga peringkat intervensi primer (pencegahan), intervensi sekunder (latihan) dan intervensi tertier (pemulihan). Ini melibatkan individu, kelompok atau organisasi serta melibatkan pelbagai jenis kepakaran profesional dan juga peranan bukan profesional.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, Psikospiritual IKRAM (P.S.I) menyarankan sebelas tindakan strategik yang perlu diambil oleh tiga sektor berikut:

Pihak Institusi Pendidikan (Sekolah, Kolej dan Universiti):

1. Memupuk literasi kesihatan mental mengenai bagaimana memperolehi dan mengekalkan kesihatan mental yang baik, memahami penyakit mental dan rawatannya yang betul, mengurangkan stigma dan meningkatkan keyakinan mendapatkan pertolongan.

2. Menggalakkan penganjuran kursus pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA) dan pertolongan cemas kesihatan mental atau mental health first aid (MHFA) yang berteraskan psikospiritual dalam kalangan guru, pensyarah, pelajar dan mahasiswa.

3. Menambah bilangan kaunselor berdaftar di sekolah dan universiti.

4. Melatih lebih ramai pakar psikologi sekolah dan pakar pendidikan khas untuk berkhidmat di setiap sekolah atau sekurang-kurangnya di setiap pejabat pendidikan daerah/negeri.

Pihak Organisasi (Agensi Kerajaan, Swasta dan NGO):

1. Membentuk polisi dan budaya kesihatan mental yang mesra pekerja daripada pelbagai demografi seperti jantina, etnik, umur, kelainan upaya dan latar belakang sosioekonomi.

2. Menggalakkan penganjuran kursus pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA) dan pertolongan cemas kesihatan mental atau mental health first aid (MHFA) yang berteraskan psikospiritual dalam kalangan pengurus dan pekerja.

3. Mewujudkan khidmat kaunseling organisasi dan/atau employment assistance programme (EAP) sama ada perkhidmatan dalaman atau dari pihak ketiga.

4. Menawarkan manfaat perubatan dan insuran/takaful yang meliputi perbelanjaan untuk rawatan penyakit mental.

Pihak Kerajaan:

1. Melaksanakan model intervensi primer, sekunder dan tertier yang holistik untuk meningkatkan kesihatan mental dan merawat penyakit mental.

2. Melibatkan pakar psikologi bukan klinikal dalam bidang psikologi pendidikan, psikologi organisasi, psikologi kesihatan, psikologi forensik dan psikologi sukan dalam intervensi pada peringkat makro.

3. Melatih lebih ramai profesional dalam bidang kesihatan mental seperti doktor  pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal, ahli psikologi kaunseling, kaunselor dan pekerja sosial yang saintifik, beretika, profesional, mesra psikospiritual dan tidak mengamalkan psikologi palsu (pseudopsikologi).

Semoga usaha ini dapat membantu membangunkan Malaysia sebagai negara rahmah, insya-Allah.

Dr. Alizi Alias
Pengerusi
Psikospiritual IKRAM (P.S.I) 2022
Pertubuhan IKRAM Malaysia

E-mel: [email protected]
Facebook: Psikospiritual IKRAM
13 Rabiulawal 1444 H / 10 Oktober 2022

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia