Saban tahun pastinya akan muncul isu-isu baru yang berlaku dalam institusi tahfiz seperti kebakaran pusat tahfiz, masalah seksual, jenayah dan buli.
Tanpa mengetepikan perhatian besar yang diberikan sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap institusi yang secara tidak langsung mencerminkan simbol pendidikan aliran agama, persoalannya adakah masalah-masalah ini wajar diletakkan atas nama institusi tahfiz atau ia adalah kesalahan individu dalam institusi berkenaan?
Terbaru, seorang guru agama pusat tahfiz di Kepong ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan orang pelajar di pusat tersebut.
Guru tersebut yang juga merupakan pengetua pusat tahfiz itu dituduh di Mahkamah Seksyen Putrajaya setelah laporan dibuat oleh salah seorang guru di pusat yang sama setelah sembilan orang pelajar itu mengadu kepadanya mengenai perbuatan suspek.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata pihaknya akan mengambil tindakan untuk menutup pusat tersebut.
Dalam laporan media pada 23 September lalu, beliau menyatakan dengan tegas tindakan keras akan diambil kerana kejadian tersebut mencalar imej institusi tahfiz malah agama Islam.
Katanya, individu yang terlibat perlu diambil tindakan dan sekolahnya juga perlu diberi amaran dan sekiranya ia melibatkan pengetua pusat tahfiz sendiri, mereka terpaksa mengarahkan pusat tersebut ditutup kerana memalukan dan memberi kesan negatif.
Namun, kenyataannya itu mengundang pelbagai pandangan termasuk mereka yang tidak bersetuju.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata bahawa institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.
Tambahnya, membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.
Walau bagaimanapun, kenyataan Mujahid untuk menutup pusat tersebut ada rasionalnya dan harus diberi perhatian.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 2017, kira-kira 50 peratus daripada 956 pusat tahfiz di seluruh negara didapati dalam keadaan tidak selamat.
Malah, Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) menyebut lebih daripada 300 pusat tahfiz di negara ini dilaporkan masih tidak berdaftar.
Jadi, kenapa pentingnya mendesak pihak pusat tahfiz untuk mendaftar?
Usaha untuk menutup pusat tahfiz yang bermasalah dan tidak berdaftar tidak seharusnya hanya dilihat dari aspek ‘menjaga nama’ sahaja.
Ia adalah tindakan untuk mengukuhkan dan menjaga kebajikan pelajar daripada penindasan supaya jaminan keselamatan dan keselesaan dapat diuruskan pada peringkat kerajaan.
Pelbagai tragedi yang singgah pada institusi ini sehingga mengundang campur tangan kerajaan sepatutnya dipandang sebagai keprihatinan kerajaan untuk menjaga pelajar, ibu bapa, guru malah pemilik pusat tahfiz daripada tercicir dan mendapatkan hak sebagai rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, sekiranya JBPM masih tidak mempunyai data yang cukup untuk membantu meningkatkan nilai keselamatan di pusat tahfiz, bagaimanakah pemantauan yang berkesan untuk menjaga hak pelajar dapat diberikan?
Malah, sekiranya pusat tahfiz yang dikaitkan dengan masalah seksual dan buli kebal daripada tindakan undang-undang kerana penghormatan tinggi masyarakat, dibimbangi dalam jangka panjang bakal mengheret institusi ini kepada masalah yang lebih besar.
Menteri Wilayah, YB Khalid Abdul Samad dalam kenyataan terbaru menegaskan kepada pemilik pusat tahfiz di ibu negara supaya mendaftar sebelum 31 Disember ini.
Katanya, laporan sesetengah media tentang pusat tahfiz di Kuala Lumpur tidak berdaftar akan segera ditutup adalah tidak tepat dan salah lapor.
Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak gopoh menutup pusat tahfiz tanpa sebab yang munasabah.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Kementerian di Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji semula garis panduan menyelia dan mengendali pusat tahfiz di seluruh negara.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) pula dalam satu kenyataan media pada tahun lalu menganggap kesedaran ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat tahfiz sebagai satu trend yang baik.
Namun, kualiti dan standard perlulah disediakan oleh pusat-pusat tahfiz termasuklah falsafah pendidikan, kelayakan kepimpinan dan pendidik, kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan dan pentadbiran, standard prasarana dan infrastruktur, kaedah pengajaran dan pembelajaran, ciri keselamatan asrama dan seumpamanya.
Dalam meraikan pandangan pelbagai pihak yang prihatin dengan institusi ini, sewajarnya isu ini diselesaikan secara berhemah atas nama pendidikan tanpa diperalatkan untuk manfaat politik.
Suhail Shukri
Wartawan IKRAMedia
Kredit foto: Akademi Tahfiz Aman, Pasir Mas