Isu Rumah Pelacuran: Jangan Buka Ruang Maksiat Baru

Isu Rumah Pelacuran: Jangan Buka Ruang Maksiat Baru | IKRAM

‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Barangkali peribahasa ini sesuai dikaitkan dengan mereka yang sesuka hati mengeluarkan sesuatu tanpa berfikir panjang. 

Seharusnya kita sedar, setiap kata yang dilontarkan, lebih-lebih lagi apabila menjadi ‘seseorang’ dalam masyarakat, akan memberi kesan sama ada yang baik mahupun sebaliknya. 

Apatah lagi kita sebagai seorang Islam yang dikurniakan akal untuk berfikir, sewajarnya berhati-hati dalam mengatakan sesuatu.

Sebagai ingatan, amar makruf ialah menyuruh dan menyeru kepada kebaikan (kepatuhan kepada perintah Allah Subhanahuwataala), manakala nahi mungkar pula ialah mencegah dan melarang daripada perkara kemungkaran (maksiat dan derhaka kepada Allah). Kedua-dua saranan itu perlu kita laksanakan.

Dalam Surah Luqman ayat 17, Allah Subhanahuwataala berfirman (maksudnya):

“Dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

Amar makruf dan nahi mungkar merupakan dua perkara yang mempunyai maksud yang berlawanan. 

Amar makruf bererti mengajak dan menyeru manusia untuk melakukan hal-hal kebaikan yang dianjurkan oleh agama. Ia mempunyai pengertian yang amat luas sehingga mencakupi apa-apa perjuangan dan perbuatan yang menjurus ke arah kebaikan dan kesejahteraan umat sejagat.

Sebaliknya, nahi mungkar membawa maksud mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar atau yang ditegah oleh agama Islam.

Tuntutan kepada amar makruf dan nahi mungkar merupakan tuntutan utama dalam ajaran agama Islam, selain daripada menjaga hubungan sesama manusia. Allah Subhanahuwataala menegaskan melalui firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 110 (maksudnya):

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Bertentangan prinsip Islam

Baru-baru ini, seorang pelakon, penerbit dan usahawan telah mencetuskan isu hangat apabila mengemukakan cadangan peribadinya agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini.

Ia berpandangan demikian berdasarkan jumlah pekerja dan pendatang asing yang dilihatnya semakin membanjiri Malaysia sejak kebelakangan ini dan kononnya bagi mengurangkan kes rogol.

Hakikatnya, apa yang diperkatakannya itu adalah dua isu yang berbeza hingga membuka ruang kemaksiatan kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia, bahkan sesuatu yang mungkar.

Respons tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan bahawa cadangan yang diberikan oleh pelakon tersebut bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah selain jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam serta maqasid syariah.

Cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.

Beliau berkata, pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Antara peruntukan berkaitan kesalahan pelacuran adalah mengikut Seksyen 372, Seksyen 372A, Seksyen 372B dan Seksyen 373.

“Di samping Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran, antaranya Subseksyen 21– pelacuran; Seksyen 22 dan Seksyen 23,” ujarnya.

Tegasnya lagi, pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.

Jenayah yang amat jelik

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, zina adalah satu jenayah yang amat jelik kerana boleh mengakibatkan kerosakan yang besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Malah pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan yang hina itu. Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini,” jelasnya.

Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN), Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib ketika ditanya mengenai isu yang tular ini berkata bahawa cadangan pelakon tersebut agak keterlaluan.

“Persoalannya, adakah jenayah rogol berlaku disebabkan tiada tempat pelacuran?”

Soalnya dengan tegas lagi, adakah pelakon itu pasti, dengan mewujudkan tempat-tempat pelacuran secara ‘legal’, jenayah rogol akan kurang berlaku?

“Tak kena gaya. Pandangan dia merepek sungguh.”

Malaysia punya undang-undang

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil apabila ditanya berkenaan rumah pelacuran berkata:

“Apa-apa pun kena ikut undang-undang. Malaysia tidak benarkan rumah pelacuran. Undang-undang kita gariskan, di Malaysia tidak dibenarkan rumah pelacuran,” tegas Fahmi.

Mewujudkan rumah pelacuran di negara ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam perlembagaannya.

Justeru, pekerja asing yang bekerja di negara ini perlu diberitahu tentang perkara ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan serta undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki.

Berhati-hati ungkap pandangan

Setiap kita sebagai anggota masyarakat perlulah melaksanakan peranan membanteras kemaksiatan, bukan mencadangkan sesuatu yang memudahkan orang lain melakukan maksiat. Hakikatnya, ia bukanlah menyelesaikan masalah tetapi memberi ruang timbulnya masalah yang baharu.

Ketika telah menjadi “somebody”, sangatlah perlu kita berhati-hati dalam mengungkapkan sesuatu pandangan, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan sesuatu yang negatif hingga menampakkan ‘ketidakcerdikan’ diri.

Sesiapa pun wajar mengambil pengajaran agar isu sedemikian tidak berulang lagi. Tidak terkecuali, pekerja-pekerja asing perlu diingatkan tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas masyarakat serta negara.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia