Isu Rohingya: Antara Ujian, Keadilan dan Kemanusiaan

Isu Rohinya

Isu Rohingya bukanlah isu baharu. Sudah lebih empat dekad masyarakat Rohingya hidup sebagai pelarian di pelbagai negara termasuk Malaysia. Mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, bahkan kehilangan identiti, kewarganegaraan dan jaminan masa depan akibat penindasan yang berpanjangan di negeri Rakhine, Myanmar.

Hakikatnya, masyarakat Rohingya berdepan pelbagai cabaran. Sebahagian besar masih belum memperoleh status yang memberikan perlindungan mencukupi, manakala jumlah pelarian terus meningkat dari tahun ke tahun.

Di Malaysia, mereka menghadapi kekangan untuk mendapatkan pekerjaan formal, akses pendidikan yang menyeluruh dan kemudahan kesihatan yang mencukupi. Pada masa yang sama, bukan mudah untuk negara ketiga menerima mereka kerana pelbagai pertimbangan politik, ekonomi dan keselamatan.

Punca utama krisis ini ialah tindakan rejim Myanmar yang telah lama menafikan hak kewarganegaraan masyarakat Rohingya.

Pelbagai laporan antarabangsa turut menyifatkan tindakan keganasan dan pengusiran besar-besaran terhadap mereka sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang telah menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mencari perlindungan di negara lain.

Namun demikian, isu Rohingya bukan sekadar masalah Myanmar semata-mata. Ia telah menjadi cabaran serantau yang memerlukan penyelesaian bersama oleh negara-negara ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dunia Islam dan masyarakat antarabangsa.

Beban menangani pelarian tidak seharusnya dipikul oleh sesebuah negara sahaja, sebaliknya perlu dikongsi melalui kerjasama yang lebih tersusun dan berkesan.

Sekiranya kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa pengalaman menjadi pelarian bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Islam. Sebelum hijrah ke Madinah, sebahagian sahabat berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan daripada kezaliman.

Kemudian, Rasulullah SAW dan para Muhajirin diterima oleh kaum Ansar di Madinah dengan penuh ihsan dan persaudaraan. Model ini menunjukkan bahawa perlindungan terhadap golongan yang dizalimi merupakan tuntutan kemanusiaan dan nilai yang sangat dihargai dalam Islam.

Jika Baginda SAW berada pada zaman ini, apakah penyelesaian yang terbaik dalam isu ini? Penyelesaian berteraskan ihsan pastinya berteraskan keadilan, rahmah dan pemeliharaan maruah insan.

Antaranya ialah usaha menghentikan kezaliman di tempat asal, mengiktiraf hak kewarganegaraan yang sah, menyediakan perlindungan sementara yang bermaruah, membuka akses kepada pendidikan dan pekerjaan serta membangunkan kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin masa depan mereka.

Penyelesaian yang menyeluruh perlu merangkumi beberapa aspek utama.

Pertama, tekanan diplomatik yang berterusan terhadap Myanmar supaya mengiktiraf hak-hak Rohingya dan mewujudkan syarat yang selamat untuk kepulangan mereka secara sukarela. 

Kedua, penglibatan ASEAN secara lebih aktif melalui perkongsian tanggungjawab dan bantuan kemanusiaan.

Ketiga, penambahbaikan sistem perlindungan pelarian termasuk akses kepada pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan yang terkawal. 

Keempat, peningkatan peranan negara-negara Islam serta badan antarabangsa dalam menyediakan dana, latihan kemahiran dan penempatan semula bagi golongan yang memerlukan.

Yang paling penting, kita tidak boleh melihat isu ini hanya melalui lensa politik atau keselamatan semata-mata. Ia adalah persoalan kemanusiaan.

Bayangkan jika Allah SWT mentakdirkan kita berada di tempat mereka hidup tanpa negara, tanpa dokumen pengenalan, tanpa jaminan pendidikan untuk anak-anak, tanpa kepastian tentang hari esok. Sudah tentu kita mengharapkan ihsan, keadilan dan bantuan daripada masyarakat dunia.

Oleh itu, penyelesaian krisis Rohingya memerlukan keseimbangan antara pertimbangan keselamatan negara dan tanggungjawab kemanusiaan. Mereka tidak memerlukan simpati semata-mata, tetapi memerlukan penyelesaian yang adil, bermaruah dan berkekalan.

Selagi hak mereka tidak dipulihkan dan masa depan mereka tidak dijamin, krisis ini akan terus menjadi ujian kepada komitmen dunia terhadap nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh semua agama dan tamadun.

Namun kita semua jelas, mana-mana orang termasuk pelarian yang melakukan kesalahan undang-undang di sesebuah negara tetap wajar didakwa dan dibawa ke muka keadilan. Tiada kompromi dalam hal ini. 

Janganlah ada yang menangguk di air keruh dengan menjadikannya isu politik untuk menggambarkan kerajaan semasa gagal mengurus isu ini. Ia bukan isu politik murahan. Semua komponen kerajaan dan pembangkang mesti bekerjasama menyelesaikan isu ini secara ikhlas dan tuntas. 

Bagaimanapun, ia harus dipertimbangkan antara kemaslahatan negara yang sepatutnya bebas daripada menanggung beban yang sukar dan sifat ihsan demi nyawa dan kemanusiaan pelarian Rohingya tersebut. 

SM Ismail

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia