Isu Monopoli Kartel: Maksud, Hukum Ihtikar dan Solusi

Isu Monopoli Kartel: Maksud, Hukum Ihtikar dan Solusi | IKRAM

Dalam landskap ekonomi kontemporari, fenomena ‘kartel’ semakin mencuri perhatian, bukan hanya sebagai isu ekonomi tetapi juga sebagai masalah sosial yang mendalam.

Sikap mementingkan diri, menafikan hak-hak orang lain, menerapkan pendekatan yang ganas dan keras dalam urusan perniagaan serta kecenderungan untuk membolot kekayaan dan peluang bagi ahli keluarga sendiri merupakan ciri-ciri negatif yang sering dikaitkan dengan kumpulan peniaga yang beroperasi dalam bentuk kartel.

Kegiatan mereka yang semakin berleluasa di pelbagai negara, bukan sahaja membataskan persaingan yang sihat tetapi juga menghalang inovasi dan pertumbuhan ekonomi. 

Maksud dan kesan monopoli kartel

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kartel merupakan terjemahan perkataan bahasa Inggeris iaitu cartel dan dimaksudkan sebagai ‘persatuan antarabangsa pengeluar atau pengusaha sesuatu barangan bertujuan untuk mengekalkan harga barangan tersebut pada paras tinggi dan mengurangkan persaingan.’

Sejarah mencatatkan penggunaan istilah ini telah digunakan secara terbuka terutama oleh negara-negara Barat di Eropah dan Amerika Syarikat sekitar tahun 1970-an. Kartel digunakan oleh mereka untuk memburuk-burukkan negara-negara pengeluar minyak yang digelar OPEC kerana pengaruh OPEC terhadap harga minyak dunia.  

Di Malaysia, kartel sering dikaitkan dengan kerosakan dalam ekosistem ekonomi, merugikan sektor-sektor penting seperti industri makanan iaitu dengan tindakan menyembunyikan stok barangan yang mengakibatkan bekalan berkurangan dan harga melambung tinggi daripada kebiasaan.

Fenomena ini telah memberikan dampak negatif kepada industri dan ekonomi seperti kenaikan harga barangan, melambatkan inovasi dan kecekapan, menyebabkan kualiti perkhidmatan merosot serta membina budaya ketidakjujuran dan tidak amanah. 

Salah satu kesan negatif yang mudah difahami dan sering menjadi beban dalam masyarakat terkait dengan aktiviti kartel ialah kenaikan harga barangan. Kenaikan harga barangan yang berterusan menjadi beban terutama kepada golongan pertengahan dan bawahan.

Tempias daripada kenaikan yang tidak terkawal menyebabkan tekanan emosi seterusnya boleh mengundang kepada kegiatan jenayah seperti ragut, rompak, keruntuhan rumah tangga dan masalah-masalah sosial yang lain. 

Islam dan isu kartel

Islam telah membahaskan isu kartel dengan merujuk kepada perbincangan ihtikar atau monopoli. Ulama mazhab Syafie seperti Imam Nawawi telah mendefinisikan ihtikar sebagai “seseorang yang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan. Walau bagaimanapun, dia tidak menjualnya pada waktu tersebut, sebaliknya dia menyembunyikannya agar dapat menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.”

Walau bagaimanapun, terdapat perbincangan yang berbeza dari sudut konteks ihtikar sama ada melibatkan barangan asasi sahaja atau merujuk kepada apa-apa keperluan masyarakat sehingga boleh menyebabkan kegusaran tahap tinggi jika ketiadaan barang tersebut.

Justeru, jika ditinjau kepada pandangan Saidina Umar al-Khattab, beliau menyimpulkan perbuatan monopoli itu tidak hanya pada barangan asasi tetapi apa-apa barangan yang disebabkan ketiadaannya menimbulkan kemudaratan kepada manusia. 

Pandangan Saidina Umar al-Khattab disokong oleh Imam al-Kasani apabila beliau menjelaskan pengharaman perbuatan monopoli kerana kemudaratan yang timbul berlaku dalam masyarakat.

Rasionalnya dijelaskan pula oleh Imam Yusuf al-Qaradawi iaitu kebebasan individu untuk berjual beli dan bersaing secara sihat dijamin oleh Islam. Bagaimanapun, Islam tidak sama sekali bersetuju dengan sikap mementingkan diri sendiri dan tamak untuk menambah harta serta mengembangkan perniagaan sehingga mengorbankan orang lain walaupun terhadap makanan dan keperluan asasi manusia. 

Agama Islam telah menyeru supaya kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang kaya semata-mata. Hal ini disebutkan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:

“…Harta itu jangan berada antara orang-orang kaya sahaja antara kamu.”

Ayat al-Quran ini menjadi landasan utama untuk membahaskan isu ini dengan lebih mendalam. Imam ar-Razi sewaktu mentafsirkan ayat tersebut menegaskan bahawa orang-orang miskin berhak mendapatkan manfaat daripada kelebihan harta orang-orang kaya. 

Selanjutnya, larangan amalan ihtikar telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (1605) yang bermaksud:

“Orang yang melakukan ihtikar PASTI berdosa.”

Tambahan pula, Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa mereka yang menyimpan barang dengan tujuan untuk menyukarkan umat Islam tidak hanya berdosa tetapi turut dicela oleh agama. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Orang yang menjalankan aktiviti import diberikan rezeki manakala orang menimbunkan barangan dilaknat. Sesiapa yang menimbunkan barangan dengan tujuan untuk menimbulkan kesusahan kepada orang Muslim, maka dia adalah salah (tercela).” (Riwayat Ahmad)

Perbuatan mengawal stok melalui pembeliaan kuantiti yang besar, menyorok dan merancang untuk menaikan harga berlipat kali ganda dan dijual sedikit demi sedikit bertujuan untuk mengeksploitasi keperluan orang ramai adalah buruk dan sangat tidak bertanggungjawab.

Solusi ihtikar

Justeru, apakah solusi yang perlu diketengahkan? Jawapan mudahnya adalah semua pihak perlu berperanan dalam mengekang kegiatan ini.

Sudah pasti, peranan pemerintah menjadi satu keutamaan dalam menyegerakan solusi bagi isu ini. Jika dilihat pendekatan pemimpin terdahulu seperti Khalifah Umar al-Khattab, beliau secara peribadi turun ke lapangan untuk melihat keadaan rakyatnya.

Selain itu, beliau turut menugaskan beberapa pegawai penguatkuasa dalam kalangan sahabat beliau untuk membantu membanteras perbuatan yang merosakkan pasaran. 

Pemimpin juga perlu terus menasihati dan mengekang melalui undang-undang yang bersesuaian pada masa kini. Orang Islam sebagai pengguna boleh mengehadkan pembelian dengan syarikat-syarikat multinasional yang memonopoli bagi mengurangkan pengaruh mereka dalam pasaran.

Para peniaga pula perlu beramal dengan saranan Rasulullah SAW untuk sentiasa mengamalkan sifat rahmah dalam urusan muamalat sepertimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli dan bermurah hati jika menagih hutang.” (Riwayat al-Bukhari)

Perniagaan merupakan aktiviti yang sangat dituntut dalam Islam, bahkan ramai dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW merupakan peniaga yang berjaya. 

Walau bagaimanapun, keinsafan dan panduan yang sepatutnya ditiru oleh peniaga dan juga masyarakat adalah sahsiah dan keperibadian peniaga dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW tersebut.

Kesalahan perbuatan ihtikar merupakan kesalahan yang mesti dijauhi oleh semua peniaga. Ekosistem yang baik dan bersahsiah menatijahkan negara yang makmur seperti yang selalu disebutkan dalam slogan kesejahteraan hidup, “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.”

Disebabkan hal tersebut, apabila seorang peniaga berjaya menjauhkan larangan-larangan yang digariskan oleh Islam dan sebaliknya mengamalkan budaya perniagaan contoh, dia akan diganjari dengan kedudukan yang tinggi pada hari kiamat sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (maksudnya):

“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang jahat KECUALI mereka yang bertakwa, berbuat kebaikan dan benar.”

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan 
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia