Sampai bila institusi zakat mahu dikecam?

Setiap tahun, ada sahaja pihak yang ingin menghentam agensi zakat dan baitulmal yang ada di Malaysia.

 

Baru-baru ini, masih hangat di media sosial, apabila seorang wanita merintih dan menghentam pusat zakat kononnya permohonan beliau tidak dilayan dengan sebetulnya.

 

Bukan sahaja netizen malah pernah juga suatu ketika dahulu, seorang agamawan menghentam agensi zakat tanpa segan silu dan usul periksa.

 

Malah kemunculan media sosial turut merancakkan lagi perdebatan dan perbahasan dalam kalangan netizen mengenai fungsi agensi zakat di negara kita. 

 

Apa kesannya? Lembaga zakat mula dibenci dan persepsi buruk mula timbul dalam kalangan orang awam terhadap agensi zakat.

 

Perkara ini turut diakui dalam sebuah laporan berita oleh Astro Awani pada tahun 2016 yang menyatakan orang awam lebih memilih untuk membayar zakat terus kepada asnaf berbanding kepada agensi zakat ekoran hilangnya kepercayaan orang awam kepada agensi zakat yang sedia ada. 

 

Penulis sendiri apabila melakukan sedikit pembacaan mengenai isu-isu yang melibatkan zakat, mendapati begitu banyak kes ‘rayuan’ dan ‘rintihan’ yang dimuatkan di media sosial mengenai agensi zakat adalah palsu dan tidak berasas.

 

Apabila wartawan melakukan siasatan dan menghubungi pusat zakat yang berkaitan, barulah muncul fakta-fakta yang tepat mengenai bantuan yang diberikan. Apa tujuan tuduhan-tuduhan palsu ini dilakukan? Wallahu a’lam

 

Oleh itu, kita sebagai orang awam, bersikap adillah terhadap agensi zakat dan baitulmal yang ada di negara kita. Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6:



“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

 

Penulis sendiri apabila melihat video oleh wanita tersebut, sentiasa menahan diri daripada memberikan sebarang komen, kerana penulis tahu, agensi zakat dan baitulmal pasti ada penjelasannya yang tersendiri.

 

Sebelum memberi sebarang komen, berhati-hatilah kerana tanpa kita sedari, ia mungkin menjadi saham dosa buat kita di akhirat kelak. Nauzubillah.

 

Ada juga pihak yang menyatakan prosedur yang diperlukan untuk memohon zakat adalah sangat ‘leceh’ dan sukar. Namun, orang awam perlu tahu, prosedur ini dilakukan untuk mengelakkan penipuan berlaku.

 

Menurut laporan Berita Harian pada tahun 2015, sebanyak 4,000 penerima zakat di Selangor dikesan sebagai ‘tidak asli.’

 

Malah yang terbaru, menurut laporan Sinar Harian pada tahun 2020, seorang wanita sanggup menipu anaknya dijangkiti virus Covid-19 untuk mendapatkan bantuan zakat.

 

Sudah pasti kita mahu wang zakat yang kita amanahkan kepada agensi zakat diuruskan dengan betul dan sampai kepada sasarannya. 

 

Kita selalu marah apabila masyarakat dunia terutamanya Barat yang selalu memberikan representasi yang buruk kepada Islam.

 

Namun, tanpa kita sedari, masyarakat Islam sendiri yang memberikan representasi  buruk kepada Islam dengan mengkritik secara semberono kepada agensi zakat dan baitulmal.

 

Tidak malukah kita dengan masyarakat bukan Islam? Sekali lagi, bersikap adil dan berhati-hatilah sebelum mengeluarkan sebarang komen.

 

Buat agensi zakat dan baitulmal yang ada di Malaysia, teruskan berkhidmat untuk umat Islam dan negara. Buatlah yang terbaik dengan amanah yang diberikan.

 

Teruskan mencari asnaf yang susah dan bantulah mereka untuk bersama-sama memperjuangkan nasib umat Islam di negara kita.

 

Jika ada teguran yang membina, jangan cepat melatah. Ambillah teguran itu dengan positif dan perbaiki prestasi kerja anda. Semoga Allah sentiasa merahmati umat Islam di Malaysia.

 

Dr Muhammad Raqib Mohd Sofian
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan & Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia