Impak pandemik COVID-19 kepada golongan muda di Malaysia

Arahan PKP ini telah memberi impak kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa terkecuali. Segala aktiviti harian hanya terhad kepada aktiviti di rumah, termasuklah bekerja kecuali golongan ‘Essential Services’ yang diberikan kelonggaran untuk terus berkhidmat seperti biasa.

 

Susulan arahan PKP, kedua-dua unsur dalam keseimbangan ekonomi iaitu tawaran (supply) dan permintaan (demand) mengalami kejutan apabila orang ramai tidak dapat keluar bekerja seterusnya menyebabkan operasi syarikat-syarikat menjadi tergendala.

 

Orang ramai kurang berbelanja dan syarikat kurang melabur. Hal ini dibuktikan oleh kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)[i] di mana peratusan perbelanjaan isi rumah menurun secara mendadak sebanyak 48 peratus semasa PKP dijalankan.

 

Lebih parah lagi, arahan PKP memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana mereka mempunyai kurang persediaan kewangan dalam menghadapi kejutan di luar jangkaan.

 

Menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh DOSM[ii], lebih dua pertiga (2/3) daripada responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang dapat menampung keperluan kurang daripada sebulan (71.4 peratus), manakala 82.7 peratus pekerja swasta mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung keperluan hidup selama dua bulan.

 

Menurut satu kajian terbaru oleh Bank Dunia[iii] , negara yang sedang membangun (developing countries) merupakan kumpulan negara yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19. Hal ini disebabkan oleh situasi ini memberi kejutan di peringkat global dalam aspek-aspek berikut:

 

a. Penurunan kadar eksport terutamanya barangan mentah;

 b. Penurunan pendapatan daripada pelbagai sektor kewangan terutamanya pelancongan;

 c. Penurunan kadar pemindahan wang; dan

 d. Kekurangan akses ke pasaran-pasaran kewangan antarabangsa.

 

Menurut Bank Dunia lagi, ia juga disebabkan oleh faktor infrastruktur sedia ada di negara yang sedang membangun, iaitu memiliki kapasiti fasiliti kesihatan yang kurang mencukupi, kekurangan ruang fiskal untuk mengawal selia dana dan sumber, tadbir urus yang kurang baik dalam menguruskan kejutan dan bilangan tenaga kerja tidak formal yang ramai.

 

Menyedari Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun, impaknya akan begitu dampak terutamanya kepada golongan muda yang membentuk komposisi sebanyak 64.6 peratus daripada tenaga buruh di Malaysia, iaitu sebanyak 9.86 juta orang (berumur 15 hingga 39 tahun) manakala golongan belia (15 hingga 29 tahun) merupakan lebih suku (35.7 peratus) daripada tenaga buruh di Malaysia.

 

Golongan muda perlu bersiap siaga untuk menghadapi risiko kehilangan pekerjaan. Menurut Khazanah Research Institute[iv], sejumlah besar penganggur pada tahun 2018 merupakan golongan belia yang merangkumi sebanyak 397,000 orang (79.7 peratus) daripada keseluruhan penganggur di Malaysia.

 

Dengan pengumuman oleh Bank Negara Malaysia[v] bahawa kadar pengangguran pada tahun ini dijangka meningkat kepada 4 peratus susulan pandemik COVID-19, jauh lebih tinggi daripada krisis ekonomi pada tahun 2009 (3.7 peratus) dan krisis ekonomi pada tahun 1998 (3.2 peratus), maka golongan muda wajar mengambil kira risiko ini dan bersiap siaga dengan membina kemahiran-kemahiran pada waktu luang ketika fasa PKP ini.

 

Pasaran kerja pada masa akan datang akan menjadi lebih mencabar kerana mereka bakal menghadapi persaingan sengit dengan golongan yang berpengalaman selain bilangan graduan yang bakal bertambah saban tahun.

 

Tambahan pula, oleh sebab kebanyakan syarikat akan mengambil masa untuk kembali stabil pasca PKP ini, pengambilan tenaga kerja baharu pasti menurun seterusnya mengurangkan bilangan peluang pekerjaan.

 

Keperluan untuk berhubung dan berinteraksi dengan orang lain sememangnya merupakan satu keperluan asasi dalam menjalani sebuah kehidupan yang seimbang baik daripada sudut pekerjaan, sosial mahupun emosi dan minda.

 

Sebagai alternatif kepada komunikasi secara berdepan yang terhad pada fasa PKP ini, orang ramai mula menggunakan kemudahan teknologi dalam komunikasi bagi memudahkan kehidupan seharian.

 

PKP juga memberi kesan yang signifikan dalam penggunaan teknologi dalam kalangan golongan muda. Malaysia[vi] merekodkan carian frasa ‘Google Classroom’ ketiga tertinggi di dunia, manakala di tempat ke sembilan di dunia di carian frasa ‘Google Meet’.

 

Hal ini menunjukkan pelajar sekolah dan guru-guru di Malaysia meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa dan golongan bekerja meneruskan pekerjaan dari rumah dengan ekstensif melalui kemudahan teknologi.

 

Selain itu, pesanan barangan dapur dan makanan dilakukan melalui pelbagai aplikasi maya. Masa lapang juga banyak diluangkan di media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook. 

 

Kebergantungan kepada teknologi oleh golongan muda perlu diteliti kerana menurut satu kajian diterbitkan oleh American Psychological Association[vii] mendapati peratusan bilangan remaja membaca buku menurun dengan kadar yang drastik disebabkan oleh kadar keterikatan yang tinggi dengan media sosial.

 

Meskipun generasi kini kaya dengan pelbagai sumber bacaan terutamanya e-book dan peranti digital, budaya membaca buku masih menurun dengan kadar yang signifikan.

Hal ini sangat membimbangkan kerana budaya membaca buku bukan sahaja budaya murni yang membentuk dan mengasah cara berfikir, namun lebih daripada itu, ia merupakan budaya seruan Ilahi sebagaimana firman pertama yang diturunkan kepada baginda SAW iaitu iqra’ (Bacalah!).

 

Selain itu, PKP juga menyebabkan sebilangan golongan muda telah terpisah daripada keluarga. Sejurus selepas fasa PKP bermula, para pelajar universiti tidak dibenarkan pulang ke rumah (telah lebih sebulan) manakala yang bekerja di luar negeri tidak dapat pulang ke kampung dan sebagainya.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)[viii] mengambil maklum tentang hal ini dan telah memberi garis panduan bagi memastikan kesihatan mental setiap individu terjaga dalam fasa yang mencabar ini.

 

Antara cadangan yang dianjurkan oleh WHO ialah terus mengekalkan perhubungan dengan keluarga dan kenalan melalui telefon, media sosial atau conference video, melakukan senaman, menjaga pemakanan dan pola waktu tidur, dan mengelakkan diri daripada membaca berita-berita berkenaan COVID-19 daripada sumber yang tidak dapat dikenal pasti.

 

Kemelut kali ini ialah perkara yang julung kali terjadi. Ramai pakar ekonomi mengakui persoalan bilakah pandemik ini akan berakhir masih tidak mampu dijangka. Oleh itu, setiap pihak harus bersiap siaga dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan.

 

Pandemik COVID-19 memberi cabaran kepada kita semua dalam menyelesaikan dua masalah yang memerlukan timbang tara yang penuh hikmah dan bijaksana; antara menyelamatkan nyawa dan menyelamatkan kehidupan yang sejahtera (saving lives and saving livelihood).

 

Disediakan oleh:

Unit Kajian IKRAM Muda Malaysia

Rujukan: 

[i] Department of Statistics Malaysia. (2020). Kesan PKP kepada Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Kelas Pendapatan

[ii] Department of Statistics Malaysia. (2020). Report of Special Survey on Effects of COVID-19 on Economy & Individual – Round 1

[iii] World Bank. (2020). Macroeconomic Policy in the Time of COVID-19: A Primer for Developing Countries

[iv] Mansor, J. & Abu Rahim, M. A. R. (2020). Cabaran dan Strategi Pasca-Pandemik Untuk Belia. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.

[v] Bank Negara Malaysia. (2020). Virtual Press Conference: Bank Negara Malaysia AR 2019

[vi] Google Trends. (2020).

[vii] American Psychological Association. (2018). Teens Today Spend More Time on Digital Media, Less Time Reading

[viii] World Health Organization. (2020). Mental health and psychosocial considerations during the COVID-19 outbreak

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia