Dalam kesibukan perbincangan tentang kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan hala tuju negara, ada satu persoalan yang wajar direnungi bersama.
Sejauh mana rahmah benar-benar dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian mereka, khususnya ketika berdepan dengan kesulitan dan ketidaktentuan hidup?
Rahmah sering disebut-sebut dalam ucapan, disertakan dalam slogan dan ditulis dalam dokumen. Namun nilai ini tidak bermakna jika ia hanya sekadar wujud sebagai ungkapan.
Persoalan yang lebih mendalam ialah bagaimana menghidupkan rahmah itu dalam realiti sosial, ekonomi dan tadbir urus negara. Adakah ia benar-benar menyentuh kehidupan rakyat atau sekadar berfungsi sebagai konsep ideal yang sukar digapai?
Di sinilah relevannya Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR 2025) sebagai satu kajian mendalam yang berusaha membaca denyut nadi masyarakat secara lebih holistik.
IMNR 2025 bukan sekadar himpunan angka atau kedudukan semata-mata, sebaliknya menjadi cerminan terhadap cara rakyat menilai realiti kehidupan mereka merentas pelbagai dimensi yang membentuk sebuah negara yang berperikemanusiaan.
Bagi memastikan gambaran yang dibentuk berpaksikan realiti sebenar, IMNR 2025 melibatkan 3,030 responden dewasa dari seluruh Malaysia merangkumi kepelbagaian umur, jantina, etnik, tahap pendidikan, pendapatan isi rumah serta lokaliti bandar dan luar bandar.
Data kajian dikumpulkan melalui temu bual bersemuka menggunakan instrumen berstruktur yang menilai 15 ciri Negara Rahmah, membolehkan suara rakyat diterjemahkan secara lebih sistematik dan berlapis.
Daripada angka kepada pengalaman hidup
Indeks ini dibangunkan sebagai satu usaha untuk menterjemahkan persepsi rakyat Malaysia melalui skor indeks. Namun nilai sebenar kajian ini tidak terletak pada angka semata-mata, sebaliknya pada kerangka fikir yang mendasarinya.
Indeks ini juga berusaha menterjemahkan pembangunan bukan hanya sebagai pencapaian statistik, tetapi sebagai pengalaman hidup sebenar yang dirasai oleh rakyat.
Melalui IMNR 2025, tahap pencapaian Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah dinilai merentas tiga dimensi utama. Dimensi politik meneliti kepimpinan dan tadbir urus, dimensi sosial memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, manakala dimensi ekonomi menilai kemampanan pembangunan negara.
Pendekatan ini membolehkan satu gambaran yang lebih seimbang tentang prestasi negara. Penilaian tidak terhenti pada dasar dan pelaksanaan semata-mata, malah meneliti kesannya dalam kehidupan seharian rakyat.
Hal ini penting kerana pertumbuhan ekonomi tidak semestinya menjamin kesejahteraan, sebagaimana kemajuan fizikal juga tidak selalu membawa keadilan sosial atau ketenangan hidup.
Dalam kerangka ini, Negara Rahmah difahami sebagai sebuah negara yang membangunkan kesejahteraan secara menyeluruh, sebuah negara yang membolehkan rakyat hidup dengan rasa aman dan bermaruah, ditadbir secara adil serta berpaksikan nilai syariat Allah.
Berpandukan 15 ciri Negara Rahmah, kajian ini menilai sejauh mana nilai rahmah diterjemahkan dalam pelbagai bidang utama termasuk kepimpinan, tadbir urus, hubungan sosial, institusi keluarga, pendidikan, ekonomi, agihan kekayaan dan peranan sektor swasta.
Pendekatan ini membolehkan penilaian yang lebih jujur terhadap realiti pencapaian negara dari sudut pengalaman rakyat, bukan sekadar indikator pembangunan.
Satu negara, pelbagai realiti
Dapatan menunjukkan bahawa walaupun rakyat hidup dalam negara yang sama, pengalaman hidup mereka berbeza. Perbezaan ini wujud mengikut umur, etnik, tahap pendidikan, pendapatan, lokasi tempat tinggal dan kedudukan sosial.
Keadaan ini membuktikan bahawa dasar yang bersifat umum tidak semestinya memberi kesan yang sama kepada semua. Sesuatu yang dirasakan mencukupi oleh satu kelompok boleh dirasakan tidak memadai oleh kelompok lain dan kemajuan yang kelihatan di satu kawasan tidak semestinya dirasai di kawasan lain.
Oleh itu, ukuran rahmah tidak wajar dinilai secara purata semata-mata, tetapi perlu difahami berdasarkan pengalaman sebenar rakyat yang pelbagai.
Atas sebab ini, IMNR 2025 tidak menggunakan satu ukuran tunggal. Sebaliknya, ia menilai pengalaman rakyat melalui ukuran berlapis mengikut latar demografi dan sosial. Pendekatan ini membolehkan penilaian dibuat dengan lebih tepat dan kontekstual, serta menunjukkan bahawa pencapaian nasional yang kelihatan positif tidak semestinya dirasai secara seimbang oleh semua.
Secara keseluruhan, hasil tinjauan ini mengajak kita menilai semula makna kemajuan. Walaupun kekuatan dalam hubungan sosial dan nilai kekeluargaan masih wujud, kajian ini turut menunjukkan bahawa rahmah belum dirasai secara sama rata.
Sebahagian rakyat menikmati perlindungan dan kestabilan, manakala sebahagian yang lain masih berdepan dengan ketidakpastian ekonomi, jurang peluang dan rasa terpinggir daripada arus pembangunan.
Dimensi sosial: Masih kukuh atau semakin teruji?
Secara umum, masyarakat Malaysia sering dilihat memiliki kekuatan sosial oleh negara luar. Institusi keluarga dianggap masih baik, hubungan antara etnik dan agama dilihat harmoni walaupun kadangkala diuji, dan rasa kebersamaan diraikan sebagai kekuatan utama negara. Gambaran ini memberi keyakinan bahawa asas sosial masyarakat masih stabil.
Namun, di sebalik persepsi tersebut, timbul persoalan yang semakin kerap dibincangkan. Apakah kekuatan ini benar-benar dirasai secara meluas atau ia semakin terhakis oleh tekanan ekonomi, perubahan struktur keluarga dan tekanan dalam sistem pendidikan? Adakah keharmonian yang sering disebut itu mencerminkan pengalaman harian rakyat atau sekadar gambaran umum dari luar?
Indeks ini menjelaskan rahmah dalam konteks sosial bukan sekadar tentang hubungan yang kelihatan harmoni, tetapi tentang sejauh mana sistem sosial benar-benar melindungi golongan rentan dan memastikan tiada sesiapa tercicir.
Dimensi ekonomi: Makmur di atas kertas, sejahtera dalam kehidupan?
Prestasi ekonomi sering dijadikan ukuran utama kemajuan negara. Dari sudut angka, pertumbuhan dan daya saing memberi gambaran bahawa negara bergerak ke hadapan. Namun dalam realiti kehidupan seharian, ramai masih mempersoalkan sejauh mana kemakmuran itu benar-benar dirasai.
Adakah peluang ekonomi benar-benar dirasai secara adil oleh rakyat bandar dan luar bandar di setiap negeri dan merentas kumpulan pendapatan? Atau adakah pertumbuhan ekonomi hanya kelihatan baik pada angka, tetapi tidak dirasai dalam kehidupan seharian?
IMNR 2025 hadir untuk menilai persoalan ini dari sudut pengalaman rakyat, sama ada anggapan umum tentang kemakmuran ekonomi benar-benar seiring dengan realiti yang dirasai.
Dimensi politik: Antara harapan dan keyakinan
Dalam wacana politik, harapan terhadap kepimpinan yang adil, telus dan bertanggungjawab sering diungkapkan. Reformasi dan tadbir urus yang baik menjadi tuntutan berulang, namun tahap keyakinan rakyat terhadap institusi negara tidak sentiasa selari dengan aspirasi tersebut.
Persoalan utama ialah sama ada apa yang digariskan dalam dasar benar-benar dizahirkan. Sejauh mana keadilan dan ketelusan benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian rakyat?
Indeks ini menilai sejauh mana realiti politik hari ini selari dengan harapan rakyat dan di mana jurang persepsi mungkin masih wujud.
IMNR 2025 ukuran penting untuk masa depan negara
IMNR 2025 mengajak semua pihak berfikir semula tentang makna pembangunan dan kejayaan negara. Berdasarkan pengalaman dan persepsi rakyat, indeks ini membuka ruang dialog yang lebih terbuka antara pembuat dasar, masyarakat sivil dan rakyat umum.
Sebagai kajian yang memfokuskan aspirasi Malaysia ke arah Negara Rahmah menjelang 2035, IMNR 2025 mengajak kita menatap masa depan dengan lebih jujur dan bertanggungjawab. Hasil kajian ini tidak menawarkan jawapan mudah, tetapi menyediakan asas yang kukuh untuk perbincangan, penilaian dan penambahbaikan dasar.
Ini hanyalah pengenalan kepada dapatan yang lebih menyeluruh. Di sebalik skor dan indikator, terdapat cerita kehidupan rakyat yang perlu difahami dan dihargai.
Persoalan akhirnya bukan sekadar sejauh mana negara telah mencapai tahap rahmah, tetapi bagaimana semua anggota masyarakat dapat bersama-sama memastikan rahmah itu benar-benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.
Ukuran sebenar sebuah Negara Rahmah tidak terletak pada angka semata-mata, tetapi pada keupayaannya memelihara maruah, keadilan dan harapan rakyat dalam kehidupan seharian mereka.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




