Kempen ini diadakan bagi memberi persediaan dan ilmu berkenaan reproduksi remaja di awal usia remaja. Kempen ini telah dipakejkan melalui modul program Meniti Usia Baligh (MUB) yang telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia Remaja IKRAM Pusat.
Antara aspek yang ditekankan di dalam modul ini ialah perbezaan sebelum dan selepas baligh, perubahan selepas baligh, isu pergaulan, aurat, hadas dan tanggungan amal selepas baligh. Antara yang menarik ialah adanya sesi penyerahan taklif antara ibu bapa dan anak-anak pada penghujung program MUB.
Kempen ini akan dilaksanakan di seluruh Malaysia dengan sasaran sekurang-kurangnya satu program bagi setiap negeri di Malaysia. Selain program MUB, turut diadakan sesi Training Of Trainers (ToT) untuk pengendali program MUB ini yang akan dilaksanakan oleh IKRAMTeens Pusat.
Menurut Pengarah IKRAMTeens Pusat, saudara Mohd Hafiz Abd Hamid (foto kanan), kempen ini seharusnya dilaksanakan dengan lebih banyak kerana cabaran dan persekitaran yang dahsyat banyak memberi kesan kepada remaja yang berusia 12-15 tahun.
“Sebagai contoh pada pertengahan September yang lalu, 8 orang remaja berusia antara 12-14 tahun ditahan kerana disyaki merogol remaja berusia 12 tahun di Rawang, Selangor.
“Berita seperti ini merunsingkan dan menggambarkan bahawa para remaja sekarang ini telah dicemari oleh ilmu yang kotor dan negatif,” katanya.
Oleh itu, tambahnya, IKRAMTeens merasakan keperluan untuk mendidik para remaja ini seawal 12 tahun berkenaan ilmu reproduksi remaja.
Menurutnya, modul MUB semakin mendapat perhatian umum termasuk di Sarawak di mana pada bulan September yang lalu, IKRAMTeens Sibu telah mengadakan program MUB bersama 200 pelajar MRSM Betong Sarawak termasuk 90 orang remaja Kristian sebagai peserta.
“Alhamdulillah mereka (remaja Kristian) boleh menerima cara dan metod IKRAMTeens memberi pendidikan awal reproduksi remaja,” ujarnya.
Para ibu bapa, pihak sekolah dan institusi masyarakat yang berminat untuk menganjurkan program Meniti Usia Baligh ini, bolehlah menghubungi Pejabat IKRAMTeens di talian 03-8945 3666.