Sambutan peserta adalah di luar jangkaan memenuhi ruang Dewan Ibu Sina Pusat Islam UPM hingga pihak logistik Pusat Islam menambah kerusi bagi menampung peserta yang hadir. Jumlah penyertaan remaja adalah seramai 60 orang manakala ibu bapa sekitar 40 orang.
Program dimulakan dengan ucapan Pengerusi Majlis, Nurul Izzati Mohd Dusuki dari IKRAMTeens Sepang, diikuti dengan bacaan ayat suci Al Quran oleh Sdr Mohammand ‘Amil ‘Aqil NorHisham dari IKRAM IPT Sepang dan seterusnya ucapan Pengarah Program, Dr Norhasmah Sulaiman serta ucapan perasmian oleh Dr Ahmad Zainuddin, Timbalan YDP IKRAM Daerah Sepang.
Dr Hishamuddin Alham (gambar kanan) memulakan pengisian bertajuk ‘Remaja Oh Remaja’ yang diselang-selikan dengan tayangan video yang sungguh menarik menyentuh perasaan ibu bapa dan anak remaja.
Sesi forum bertajuk ‘Menyingkap Rahsia Alam Remaja’ dikendalikan oleh moderator Sdr Fazrul Ismail dari Belia IKRAM Sepang, menghangatkan lagi suasana dengan gabungan mantap ahli panel yang terdiri daripada Puan Noryani Md Tan (wakil ibu), PM Dr Hafidzi Mohd Noor (wakil bapa), Sdr Amil (wakil remaja), Sdri Nor Farha (wakil remaja) dan Dr Hishamuddin Alham (aktivis remaja). Perbincangan sungguh hangat kerana datangnya daripada hati ke hati.
Antara peserta yang hadir. Gambar tengah, PM Dr Hafidzi dan gambar kiri, moderator Sdr Fazrul Ismail.
Sesi petang adalah sesi ujian personaliti untuk remaja oleh Sdr Hisham, kaunselor sekolah yang banyak terlibat dengan program remaja. Beliau akan mengulas ujian yang dilakuan secara umum dalam blog beliau. Manakala ujian kemahiran keibubapaan telah dikendalikan oleh Puan Siti Fatimah Abdul Ghani, kaunselor di UPM. Ibu bapa dapat mengenal pasti gaya keibubapaan dan implikasinya kepada perkembangan anak-anak.
Selepas program, ada ibubapa yang berminat menjadi ahli IKRAM dan lebih 20 remaja yang berminat mengisi borang untuk menyertai IKRAMTeens Sepang. Tahniah kepada IKRAM Daerah Sepang atas penganjuran program yang menarik minat masyarakat untuk menyertainya.