Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor ingin merujuk kepada insiden tumpahan minyak diesel ke dalam Sungai Selangor hingga menyebabkan 4 Loji Rawatan Air (LRA) memberhentikan operasinya pada 30 Ogos 2013. Akibat kejadian tumpahan minyak ini, bekalan air turut terputus sehingga menjejaskan kehidupan hampir 1 juta pengguna di sekitar Lembah Kelang termasuk bandaraya Kuala Lumpur.
Perkara yang berlaku ini adalah seperti yang disebutkan dalam Al-Quran:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Hud: 41)
Sesungguhnya memang sukar bagi sesiapa juga untuk menjalani kehidupan yang selesa di ketika bekalan air terputus apatah lagi bagi jangka masa yang lama!!
Walaupun tumpahan diesel ini serius dan hampir sejuta pengguna yang terjejas, namun pada 4 September 2013 sebagaimana kenyataan pihak SYABAS, sebagai syarikat swasta dan operator yang bertanggungjawab menguruskan bekalan air di Selangor, hanya sekitar 8,400 pengguna yang masih terganggu akibat insiden ini.
IKRAM Negeri Selangor berasa gembira dan mengucapkan tahniah atas sikap bertanggungjawab dan profesional pihak Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan juga SYABAS dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air kepada para pengguna dengan cepat dan cekap.
Ini menepati matlamat penciptaan manusia supaya menjadi khalifah yang bijak memakmurkan bumi ini. Firman Allah bermaksud:
“Dialah yang menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya (menghuni dan mengolah hasil bumi untuk kesejahteraan umat manusia).” (al-Hadid: 61)
IKRAM Negeri Selangor juga menyokong penuh pendirian YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor, yang menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran dan seterusnya dikenakan hukuman/penalti sesuai dengan prinsip ‘pencemar diwajibkan membayar’.
Bagaimanapun, IKRAM Negeri Selangor suka untuk mencadangkan agar sebarang aktiviti komersil dan pembangunan di kawasan rizab sungai di negeri Selangor bukan hanya dibekukan sebaliknya perlu dilarang sepenuhnya. Selain daripada itu, dalam jangka masa panjang, usaha-usaha yang terancang bagi memindahkan aktiviti komersil dan pembangunan sedia ada di kawasan rizab sungai haruslah dijalankan bagi mengelakkan insiden yang serupa berlaku lagi.
HJ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Yang Dipertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Negeri Selangor