Timbalan Presiden IKRAM, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berkata, IKRAM bergerak berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang terpamer dalam dakwah Ikhwan.
“Walaupun kita rancak bekerjasama dengan semua pihak, pemerintah dan bukan pemerintah, NGO Islam atau bukan Islam, kita tetap tersendiri,” jelasnya kepada Ahli-ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM di Dewan Utama Kompleks IKRAM, di sini pada Sabtu lalu.
Beliau berucap pada persidangan DPN ketiga yang berlangsung selama dua hari, bagi menggantikan Presiden IKRAM, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad yang berada di luar negara.
Ustaz Hasanuddin memetik satu daripada Rukun Baiah yang digariskan Imam al-Banna, tajarrud, yang membawa maksud ‘tersendiri dengan keunikan tertentu’ sebagai sebahagian daripada ciri yang dijiwai IKRAM.
Atas dasar itu, katanya, IKRAM berpegang kepada prinsip yang jelas dalam berdakwah kepada kelompok manusia yang terdiri daripada pelbagai kategori.
“Kepada orang Islam yang berjuang, kita sayang mereka dan menggabungkan diri bersama mereka;
“Kepada orang Islam yang tidak berjuang (duduk), kita menggerakkan mereka dan berdakwah kepada mereka;
“Kepada orang Islam yang bergelumang dangan maksiat, kita ingatkan mereka dan berdakwah kepada mereka;
“Kepada orang bukan Islam yang ada perjanjian dengan kita (zimmi), kita tepati janji kita dan bersedia bersusah payah dengan mereka;
“Kepada orang bukan Islam yang neutral, kita berinteraksi dengan mereka secara neutral, melakukan engagement dan membina hubungan baik;
“Kepada orang bukan Islam yang memerangi kita, kita lawan mereka mengikut batas dan adab sebagaimana yang disyariatkan,” jelasnya panjang lebar.
Beliau menjangkakan tuduhan dan salah faham terhadap usaha IKRAM dalam isu Gerakan Negara-Ku akan terjawab dengan penjelasan ini kerana IKRAM berinteraksi dengan mereka yang disebutkan di atas berlandaskan manhaj al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang dititipkan oleh Imam al-Banna.
Lebih jauh lagi, tambah beliau, IKRAM terus bergerak berdasarkan perancangan dan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bertepatan dengan ciri-ciri dakwah Ikhwan, iaitu:
1. Dakwah Salafiyyah – IKRAM membawa perjuangan salafus solih
2. Thariqah Sunniyyah – IKRAM memperjuangkan Sunnah
3. Hakikah Sufiyyah – IKRAM melatih ahli-ahlinya memiliki jiwa seorang sufi
4. Hai’ah Siyasiyyah – IKRAM mengambil berat dan terlibat hal dalam isu politik walaupun ia kekal sebagai bukan sebuah parti politik
5. Jama’ah Riyadhiyyah – IKRAM memastikan ahli-ahlinya sihat dan cergas
6. Rabithah ‘Ilmiyah Tsaqafiyyah – IKRAM memastikan supaya ahli-ahlinya sentiasa membaca buku dalam dan di luar bidang masing-masing
7. Syirkah Iqtishadiyyah – IKRAM menggerakkan institusi kewangannya sendiri
8. Fikrah Ijtima’iyyah – IKRAM dilihat badan yang sentiasa terlibat dalam kebajikan dan kemasyarakatan
Beliau turut memetik firman Allah dalam surah al-Anbia’ ayat 105 yang menjadi titik tolak kepada gagasan IKRAM iaitu Malaysia Menuju Negara Rahmah:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmah bagi sekalian alam.”
Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Anbia’ ayat 105:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.
Dalam ayat tersebut jelasnya, IKRAM perlu menyediakan golongan solihin (orang-orang soleh) untuk mewarisi bumi ini sebagai pemimpin, samada datang daripada dakwah dan tarbiah yang diusahakan, usaha islah yang IKRAM lakukan agar penguasa menjadi solihin atau berlakunya pertukaran melalui proses yang tidak bertentangan dengan perlembagaan.
Dalam aspek tarbiah pula menurutnya, aktiviti dan pemantauan tarbiah adalah sesuatu yang rutin dan kerja utama IKRAM dan segalanya berjalan baik dan ia terserlah dengan projek melahirkan pasukan muwajjih (penyampai bahan tarbiah) terlatih seramai 58 orang.
Tambahnya, selama dua tahun peserta dilatih menguasai bahan, menguasai teknik dan projek ini merupakan satu usaha gigih menggabungkan modal insan, kemahiran dan alat serta bahan dengan kehadiran para muwarrith, iaitu mereka yang mempunyai pengalaman yang lama dalam medan tarbiah seperti Ustaz Alias, Ustaz Zawawi, Ustazah Arpah dan lain-lain.
Ujarnya, Hj Zaid Kamaruddin dan Dr Harlina Halizah Siraj juga dilibatkan agar para muwajjih ini menguasai bahan tarbiah serta Rancangan IKRAM dan isu-isu dalam masyarakat dan kewanitaan.
Sementara itu, pasukan kedua muwajjih sedang didaftarkan peserta-pesertanya dan projek pelapis muwajjih sedang rancak berjalan yang dihadiri kira-kira 100 orang peserta.
Jelasnya, IKRAM sudah bersedia untuk berpindah ke fasa perubahan dalam Rancangan IKRAM dan kerja-kerja persiapan tersebut dijangka bermula pada April 2015.
“Hari ini, kami bersedia mendengar dan menerima sebarang teguran demi memastikan golongan eksekutif di bawah JKP (Jawatankuasa Pusat) akan terus lancar maju ke hadapan dengan amal-amal terancang,” tambahnya.
Dalam IKRAM, Ahli-ahli DPN merupakan pimpinan tertinggi yang bersidang untuk mengawal perjalanan IKRAM manakala Ahli-ahli JKP adalah pelaksana kepada polisi-polisi yang diputuskan dalam persidangan DPN.