IKRAM Rintis Tingkatkan Keupayaan 18 Usahawan Daripada Miskin Bandar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berjaya meningkatkan keupayaan 18 orang usahawan dalam kalangan miskin bandar melalui Program Memperkasakan Kehidupan Komuniti Bandar (PERKASA) 2024.

Para usahawan itu diraikan dalam Majlis Graduasi Program PERKASA 2024 pada pagi Ahad, 13 Oktober 2024 di Dewan Serbaguna Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. Kelihatan para peserta berwajah gembira apabila berpeluang memakai set jubah hari graduasi di sepanjang majlis ini.

Program PERKASA ini merupakan model solusi perintis IKRAM dalam usaha meningkatkan taraf hidup untuk mencapai kesejahteraan dalam pelbagai aspek kehidupan komuniti miskin bandar.

Program ini juga dirangka untuk memperkasakan kehidupan komuniti miskin bandar yang berdaya tahan dan mempunyai persediaan yang mencukupi untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Naib Presiden IKRAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agenda Nasional IKRAM, Prof. Dr. Hanim Salleh, dalam ucapan perasmiannya mewakili Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin, menyatakan:

“Berdasarkan statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), sejumlah 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di seluruh negara, manakala umur semuda 15 tahun telah diberikan status miskin dan miskin tegar.”

Ternyata golongan umur muda seperti ini mewarisi status kemiskinan daripada keluarga mereka sendiri. Sekiranya komuniti ini tidak ada inisiatif atau tidak dapat keluar daripada lingkungan miskin tegar, secara automatik generasi penyambung akan mewarisi status ini dan berlanjutan ke generasi seterusnya.

Namun, di sebalik mewarisi status miskin tegar daripada ibu bapa, anak-anak muda ini seharusnya mempunyai keinginan untuk keluar daripada status miskin tegar. Mereka mempunyai pilihan sendiri sama ada ingin terus kekal ataupun berusaha untuk keluar daripada status kemiskinan. 

Program PERKASA yang dianjurkan IKRAM bersama Kajian Dasar IKRAM (KADRI) dan Yayasan Ikram Malaysia (yaIKRAM) mengandungi modul pembangunan insan, asas kemahiran, pengurusan perniagaan dan pemasaran serta pengurusan keluarga. 

Program PERKASA melibatkan teori dan amali melalui pelbagai modul yang telah diselesaikan dalam jangka masa sepuluh bulan sejak Januari 2024.

Program ini bertujuan menawarkan suatu pendekatan yang holistik dalam pembangunan komuniti bandar, merangkumi aspek-aspek kemahiran seperti memasak, menjahit dan menggubah hiasan, pengurusan perniagaan termasuk aspek pemasaran dan kehidupan berkeluarga, melalui modul-modul yang disediakan. 

Ia adalah susulan daripada kajian lebih daripada dua tahun bagi memahami status dan isu-isu penting dalam kehidupan komuniti bandar yang terpinggir dan memerlukan, serta merupakan satu inisiatif IKRAM dalam mengemukakan suatu model solusi yang relevan bagi membantu menambah baik keadaan masyarakat yang berkaitan. 

Pengarah Majlis Graduasi PERKASA, Puan Faridah Maludin, dalam ucapannya menyampaikan pesan kepada graduan untuk terus meningkatkan diri.

“Bawalah dan kongsikanlah kenangan manis menimba ilmu dan pengalaman bersama program PERKASA dan jadikanlah ia bekalan dan panduan untuk kita terus memajukan diri, meningkatkan kualiti kehidupan dan perniagaan kita serta kesejahteraan hidup berkeluarga agar kita menjadi ahli masyarakat yang berguna untuk orang lain, komuniti setempat, masyarakat dan negara.”

Turut memberikan ucapan termasuk Hj Ainullotfi Abdul Latif iaitu Penyelaras Projek PERKASA 2024 merangkap Ketua Kluster Masyarakat Progresif IKRAM.

Antara tetamu yang hadir Dr. Maisarah Tajuddin (Pengurus Penyelidik Kajian Dasar IKRAM (KADRI)) dan Dr. Maznah Ahmad (Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Ikram Malaysia).

Selain itu, turut hadir Datin Paduka Khatijah Sulaiman (Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor) serta YB Syed Ahmad bin Abdul Rahman Alhadad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya.

Selain daripada peserta-peserta yang terlibat, Majlis Graduasi ini juga dihadiri oleh lebih 120 orang yang terdiri daripada anggota keluarga peserta dan pelbagai pihak yang terlibat bagi menjayakan Program PERKASA ini sepanjang 10 bulan, termasuk para jurulatih dan pengajar daripada Kolej Komuniti Selayang (KKSY) dan Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Majlis ini turut dihadiri para petugas dan sukarelawan daripada IKRAM Kawasan Batu, Setiawangsa, Wangsa Maju, Gombak dan Lembah Jaya, Rumah Amal Cheshire Selangor, Yayasan Ikram Malaysia, Kajian Dasar IKRAM dan Tim Kajian Miskin Bandar, Kluster Masyarakat Progresif IKRAM.

Majlis ini juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Penduduk Desa Rejang dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia