Siri Tadabbur Quran Memaknai Isti’azah (Memohon Perlindungan Allah dari Syaitan yang Direjam)

Siri Tadabbur Quran
Memaknai Isti’azah (Memohon Perlindungan Allah dari Syaitan yang Direjam) dalam kehidupan
Isti’azah merupakan suatu amal yang biasa kita laksanakan. Kebiasaannya, kita diajar oleh para guru Quran sejak kanak-kanak lagi untuk melazimi Isti’azah terutamanya sebelum membaca Al-Quran.
Dengan lazimnya kita membacanya, baik sebelum membaca Al-Quran serta kepelbagaian amal yang lain, mari kita sama-sama menelusuri makna Isti’azah serta memaknainya dalam kehidupan.
Isti’azah adalah suatu doa yang mulia. Ia merupakan sebuah tanda ketundukan seorang hamba yang “berlari” menuju Tuhan. Sepertimana surah terakhir (Surah An Nas) menceritakan tentang permohonan perlindungan daripada musuh luar dan dalam, isti’azah adalah praktikalnya.
Menurut Syeikh Yasir Qadhi, kalimah A’uuzu bukanlah sebuah permohonan perlindungan yang biasa. Tetapi sebuah permohonan perlindungan daripada zat yang tidak mampu seseorang manusia itu mempertahankan diri melainkan dengan bantuan ghaib. Oleh sebab itu, dalam surah Jin, Allah mencela mereka yang memohon “a’uzu” daripada makhluk selain daripada Allah.
Kenapakah pentingnya isti’azah sebelum membaca AL Quran? Ya, ia mengajar kita agar memulakan pembacaan Al Quran dengan suatu kerendahan hati. Ilmu ibarat air terjun. Semakin rendah kedudukan hati kita, semakin banyak ilmu yang akan berjaya ditakung. Begitu jugalah hidayah Quran. Seseorang boleh sahaja membacanya siang dan malam. Tetapi andai masuk ke “alam” Qurani dengan jiwa tuan, iaitu sombong, bagaimana mungkin hidayah Quran berjaya dikecapi.
Apatahlagi membaca kisah syaitan itu sendiri diusir Allah kerana hati yang bongkak. Masakan manusia mampu menewaskan syaitan dengan jiwa yang bongkak.
Isti’azah juga bukanlah sesuatu yang asing bagi kisah Nabi mahupun insan soleh terdahulu. Nabi Yusuf juga memohon perlindungan Allah semasa menghadapi ujian isteri al Aziz. Maryam juga memohon perlindungan Allah dan lantas Allah menurunkan perlindungan Nya.
Maka apakah yang menghalang kita daripada melakukan isti’azah? Sedarkah kita bahawa beberapa tingkahlaku negatif kita sehari-hari ada sumbangan daripada pihak syaitan?
Pernahkah kita menjadi pelupa? Ya, melupakan tanggungjawab, ilmu dan sebagainya. Pernahkah kita berasa takut yang berlebihan? Bukan takutkan ular dan harimau semata. Tetapi takutkan masa hadapan, sehingga kita gagal membuat apa-apa perancangan. Pernahkah kita berasa malas dalam memikul amanah? Pernahkah kita ada kecenderungan untuk menangguhkan kerja?
Ya, di atas adalah antara gerak kerja syaitan yang tidak kita sedari. Bahkan isti’azah tidak sesekali terhad dengan dibaca sebelum membaca AL Quran, tetapi keseluruhan kehidupan kita. Andai kita bebas daripada gangguan syaitan, boleh jadi ingatan kita semakin kuat. Kita menjadi lebih positif dalam kehidupan dan bakal menjadi Muslim yang produktif.
Maka, maknailah isti’azah dengan kefahaman. Ia bukanlah kalimah sakti, tetapi doa ini ibarat sebuah ikrar dalam diri untuk sentiasa menjauhi perkara yang boleh membuka ruang bisikan syaitan. Andai seekor anjing ditambat oleh tuannya, pasti akan mampu menggigit kita andai kita yang mendekati diri kita kepada anjing tersebut.
Andai kempen jalanraya sering diingatkan dengan keselamatan, maka ayuh kita mulakan kempen keselamatan rohani kita dengan Isti’azah.
Wallahu’alam
Muhammad Shah
IKRAM Seremban
Rujukan:
Podcast Tafsir Al Fatihah Syeikh Yasir Qadhi
Dan beberapa bahan bacaan Tafsir lain

Syawal Permulaan Baharu. Raya bersama IKRAM dengan klik gambar di bawah.

[supsystic-social-sharing id='1']
Author picture

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia