Kangar, 16 Julai 2023 – Pada hari ini IKRAM Perlis telah menganjurkan program Rehlah Keluarga di Nakawan Basecamp, Taman Eko Rimba, Bukit Ayer. Rehlah yang berlangsung selama setengah hari itu berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Program Rehlah Keluarga ini bertujuan untuk memberikan kesempatan kepada ahli IKRAM Perlis dan keluarga mereka untuk bersantai sambil mengeratkan ukhuwwah sesama mereka. Dalam suasana yang santai, para peserta dapat saling mengenal antara ikhwah akhawat yang telah lama bermastautin di Perlis dan yang baru datang ke Perlis.
Berbagai aktiviti telah dilakukan bersama dalam rehlah ini. Sesampainya di Nakawan Basecamp, para peserta rehlah bersarapan dahulu sambil menyediakan tempat untuk aktiviti seterusnya diikuti oleh sesi senaman yang dipimpin oleh Prof Ir Dr R. Badlishah. Berikutnya adalah ucapan dari YDP IKRAM Perlis, Dr. Shahrir Rizal Kasjoo, dan kuliah tujuh minit (kultum) oleh Prof Dr Rushami Zien yang menyentuh tentang pengurusan stres.
Setelah itu, para peserta rehlah masing-masing melibatkan diri dalam acara sukaneka termasuk boling buah kelapa, baling belon, kopek buah kelapa dan permainan bingo. Acara-acara sukaneka ini walaupun nampak santai namun para peserta boleh berkenalan dan berukhuwwah sesama mereka melalui aktiviti yang dijalankan bersama.
Rehlah diakhiri dengan makan tengah hari dan bergambar bersama-sama.