Program Khidmat Masyarakat Pelajar UITM S3 bersama Pertubuhan IKRAM Kawasan Seremban kepada Warga Emas
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” [Riwayat al-Bukhari (5997)]
Atas semangat inilah membawa para siswa/i UiTM Seremban 3 dalam mencari ruang memberikan khidmat bakti dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Seremban pada 14 Januari 2023. Lokasi yang dipilih untuk siri kali ini adalah Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah, Seremban 3.
Secara keseluruhannya, siri khidmat bakti ini disertai oleh 21 siswa/i, En Ikmal selaku penasihat dari UiTM Seremban 3, tiga orang wakil dari Pertubuhan IKRAM Seremban serta dua orang pegawai perubatan dari IKRAM Health. Program kali ini turut dibantu oleh En. Faiz Qayyum dan En Luqman yang merupakan aktivis kesukarelawanan yang berpengalaman.
Antara khidmat yang dilaksanakan termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan premis. Selain itu, para sukarelawan ini turut mengambil peluang beramah mesra bersama 12 warga emas, yang pada mereka ini banyak kisah-kisah pahit dan manis untuk teladan kepada generasi seterusnya.
Mungkin kedengaran agak keanak-anakan, pihak sukarelawan turut melakukan aktiviti mewarna bersama warga emas ini. Menurut kajian laman psychologytoday.com, aktiviti mewarna boleh membantu dalam menguruskan stres dan “anxiety” para pelakunya. Selain itu, aktiviti ini turut berperanan sebagai “senaman” kepada warga emas dalam memperkuatkan kemahiran motor dan sebagainya.
Kehadiran pegawai kesihatan turut membantu dalam melakukan pemeriksaan kesihatan asas kepada warga emas ini.
Siri khidmat kali ini diakhiri dengan jamuan ringan serta majlis sumbangan bahan asas penjagaan warga emas daripada pihak Yayasan IKRAM.
Rata-rata para peserta berasa gembira dengan pengalaman baru ini. Antara refleksi peserta,
“Bersama warga emas menjentik rasa simpati dan empati dalam hati kami…”
“Kami akan lebih menghargai keberadaan warga emas dalam keluarga kami…”
“Moga ia menjadi ladang pahala kami…”
“Berharap akan ada lagi aktiviti seperti ini pada masa akan datang…”
“Bina Negara Rahmah”
Nota:
Kepada mana-mana kumpulan individu yang ingin melakukan aktiviti kesukarelaan, boleh menghubungi pihak IKRAM Seremban untuk sebarang kolaborasi.