GOMBAK – Kebun Komuniti Gombak Utara (KKGU) telah mengadakan program Lestari Alam Gombak anjuran bersama IKRAM Gombak, Wanita IKRAM Gombak dan Persatuan Eko Wanita Berinisiatif (EkoWi) bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar pada Ahad di sini.
Program yang bermula pada jam 9.30 pagi itu telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 1, Mazlan Musa serta dihadiri oleh penduduk setempat dan turut disertai oleh seorang pelancong dari Amerika Syarikat.
“Setakat ini, KKGU mensasarkan program-program memupuk kesedaran mengenai kitar semula seperti ini diadakan secara berkala pada setiap tiga bulan,” kata Setiausaha KKGU, Eleena Surliana Latif.
Tambahnya, jualan hasil kebun seperti nenas, kunyit, serai, belimbing buluh dan lengkuas telah berjaya dihabiskan, di samping persatuan turut berjaya mendaftar 10 orang ahli baru.
“Para pengunjung boleh datang untuk menjual minyak masak terpakai pada harga RM2 per kilogram dan mereka akan dibekalkan dengan kit mengumpul minyak masak terpakai serta didaftarkan sebagai ahli secara percuma,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah jualan lelong buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada hasil tanaman kebun. Hasil jualan digunakan bagi menampung kos pengurusan kebun komuniti tersebut.
Selain itu, terdapat juga pasar percuma atau lebih dikenali sebagai ‘free market’ yang mengedar barangan terpakai seperti pakaian, tudung dan beg galas kepada mereka yang memerlukan. Program berakhir sekitar jam 12 tengah hari.