“Demi Allah! Kamu (Mekah) adalah tanah Allah yang terbaik dan sangat dicintai olehnya. Sekiranya aku tidak diusir daripada kamu, aku tidak akan berpisah daripada kamu!”
(HR Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)
Justeru, jika kita mencintai sesuatu perkara, pasti kita akan cuba sedaya upaya untuk membuktikannya. Lantas, apakah yang boleh kita lakukan untuk membuktikan cinta kita kepada negara kita?
Menjadi Warganegara Yang Baik Lagi Berjiwa Islah
Antara tugas utama selaku warganegara apatah lagi seorang muslim adalah dia berusaha untuk memperbaiki dirinya dan juga mengajak orang lain untuk turut sama memperbaiki diri.
Niatkan supaya kita menjadi warganegara yang berakhlak mulia, tidak culas, tidak pembohong, jauh daripada korupsi dek tertipu dengan kekayaan dunia yang sementara, menjauhi jenayah seperti mencuri dan merompak harta orang lain, berani menegakkan kebenaran serta suka menyebarkan kebaikan.
Kenapa menjadi baik dan berusaha untuk mengajak orang lain itu penting? Hal ini demikian kerana komponen asas sesebuah negara ialah rakyatnya. Jika baik rakyatnya, maka baiklah negaranya. Maka itu menjadi sebab Allah menurunkan rahmat dan kurniaan yang melimpah ruah serta menjauhkan negara tersebut daripada bala bencana.
Ia selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud, ‘dan Tuhan menyatakan lagi, sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah kKami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah ruah berkatnya dari bumi dan langit. Tetapi, mereka mendustakan Rasul Kami. Lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan.”
Jelas di sini, Allah telah menggariskan bahawa formula kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara, ia adalah bermula dengan diri kita.
Menjadi Warganegara Cakna Isu Semasa
Selain itu, sebagai warganegara, kita juga perlu berusaha untuk mengambil tahu serta sensitif dengan isu semasa. Kita tidak boleh mengambil sikap malas hendak ambil endah terutamanya perkara yang berkaitan dengan isu negara kita.
Namun begitu, kita juga perlu menyedari bahawa kita tidak boleh mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang belum tentu kebenarannya. Didiklah diri untuk rajin membaca daripada pelbagai sumber yang sahih dan rajin membuat perbandingan. Jangan sesekali kita mudah terperangkap dengan kisah-kisah fitnah apatah lagi tersalah hukum orang yang tidak bersalah.
Antara isu yang perlu kita cakna bukan sahaja isu politik, tapi kita juga perlu cakna pada taraf hidup, masalah serta kesusahan yang dihadapi oleh rakyat. Sebagai contoh, masalah kemiskinan, jurang ekonomi yang tinggi, isu kenaikan harga barang, itu juga perlu kita ambil peduli walaupun mungkin kita adalah orang yang berkemampuan.
Hal ini kerana dengan menjadi orang yang cakna dengan isu semasa, secara tidak langsung kita akan menjadi orang yang mengambil berat serta berusaha melakukan sesuatu untuk menggerakkan negara ke arah yang lebih baik.
Kesimpulan
Setiap daripada kita tak kira daripada kalangan pemimpin negara sampailah ke kuli, kita mempunyai peranan yang harus kita tunaikan. Sebagai anak muda, tugas kita pada ketika ini adalah mengaut ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Persiapkan diri kita untuk menjadi generasi pengganti.
Mungkin tidaklah kita menjadi perdana menteri atau menteri-menteri yang lain, sekurang-kurangnya kita boleh menjadi agen perubahan yang menggerakkan negara di peringkat kita berperanan. Kita tidak mahu menjadi warganegara yang sekadar wujud tetapi kita mahu kewujudan kita adalah signifikan kepada negara.