Kuala Lumpur – Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, ditemu bual di Astro AWANI jam 8.30 pagi semalam bagi mengupas mengenai pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan daripada aspek nutrisi dalam kepelbagaian menu hidangan berkenaan.
Menyambut baik inisiatif baru kerajaan ini, beliau berkata, Menu Rahmah merupakan satu konsep pemakanan yang sangat baik, merentasi sosioekonomi semua penduduk di Malaysia khususnya golongan B40 dan golongan yang berisiko terhadap kekurangan makanan.
Di samping itu, beliau menyifatkan Menu Rahmah yang diperkenalkan tersebut turut memenuhi aspek-aspek pemakanan seimbang kerana mempunyai sumber karbohidrat, protein dan vitamin.
“Namun begitu, kalau kita lihat gambar di dada-dada akhbar atau di media, Menu Rahmah ini tidak mempunyai satu lagi komponen lain yang penting dan perlu diambil kira iaitu penyajian buah-buahan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas lanjut mengenai peranan semua pihak dalam usaha mendidik masyarakat ke arah perubahan tingkah laku dalam memahami serta mengamalkan konsep pemakanan yang sihat dan seimbang.
“Kadar obesiti yang tinggi di negara kita secara tidak langsung memberi gambaran tentang kadar literasi masyarakat mengenai nutrisi. Peluang suntikan pendidikan mengenai nutrisi pemakanan boleh digunakan dalam inisiatif Menu Rahmah ini. Didik masyarakat dengan cara mudah,” katanya.
Berkongsi pengalamannya bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam menggerakkan kesedaran ibu bapa mengenai isu bantut dalam kalangan kanak-kanak, Norhasmah menegaskan bahawa selain kerajaan dan kementerian, pihak industri pemakanan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan media massa turut berperanan dalam mendidik masyarakat.
“Kita nak mengajak masyarakat untuk mengubah tingkah laku. Gerakkan kesedaran mengenai pemakanan, pengetahuan dan literasi pemakanan. Pilihlah menu sihat dan dengan perubahan tingkah laku ini, kita akan sampai pada satu tahap yang mana kita boleh menurunkan kadar obesiti, penyakit kronik dan sebagainya,” jelas beliau.