Banjir – Menilik Hikmah Di Sebalik Musibah

Ujian daripada Allah

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Musibah seperti banjir ini pasti mendatangkan kedukaan dan kesedihan kepada sesiapa yang mengalaminya. Namun ingatlah bahawa apa sahaja musibah yang berlaku tak kira dalam bentuk apa sekali pun, hakikatnya ia datang daripada Allah SWT.

Allah menurunkan musibah dan ujian kepada kita ada sebabnya dan tidak sia-sia. Boleh jadi ia datang sebagai sebab untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya serta meningkatkan keimanan kita pada Allah SWT.

Namun, boleh jadi juga ia datang sebagai teguran atau ingatan atas sebab kelalaian dan dosa-dosa kita supaya kita kembali mengingati Allah SWT.

Walau apapun, kita perlu meyakini bahawa segala ujian ini datangnya daripada Allah dan telah tertulis sejak azali lagi. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 22,

‘Setiap bencana yang menimpa di bumi dan menimpa dirimu sendiri, semuanya tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya itu semua mudah bagi Allah.’

Menilik Hikmah di Sebalik Musibah

Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti ini, kita janganlah melenting dan menyalahkan takdir atas kesusahan yang menimpa kita. Sebaliknya, kita hendaklah menilik hikmah di sebalik apa jua musibah yang berlaku ke atas kita. Hal ini kerana setiap apa yang Allah takdirkan kepada kita bukanlah saja-saja.

Seperti yang telah berlaku baru-baru ini, kita dapat menyaksikan masih begitu ramai rupanya orang-orang yang prihatin yang menghulurkan bantuan. Segala bantuan yang diberikan merentas sempadan negeri, bangsa mahupun agama. Tidak kira daripada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan mahupun persendirian, masing-masing mengambil langkah proaktif tampil menghulurkan bantuan mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.

Di sini kita boleh melihat bahawa sebenarnya semua orang boleh bersatu, berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam mengharungi musibah ini.

Sekaligus ia membuktikan bahawa masih punya harapan untuk kita saling bekerjasama dalam membentuk Malaysia negara rahmah yang diidamkan pada suatu hari nanti.

Berlapang Dada dan Redha

Dalam menghadapi musibah seperti banjir ini, kita semua haruslah kembali kepada tuntutan agama agar kita boleh melalui musibah ini dengan sabar dan redha. Berlapang dadalah dalam menerima ketentuan daripada Allah ini.

Hal ini kerana dengan sifat redha, berlapang dada dan bersabar ini, akan melahirkan kekuatan emosi dan psikologi. Sekaligus ia membantu meringankan beban di pundak kita.
Harungilah musibah ini dengan penuh keimanan.

Yakinlah bahawa musibah itu tanda kasih dan sayangnya Allah pada kita. Semoga dengan bekalan keimanan akan menitipkan kekuatan luar biasa kepada kita untuk mengharunginya!

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia