Allah berfirman lagi dalam surah ad-Dukhan ayat 3 hingga 5 yang bermaksud;
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam berkat (malam lailatulqadar); (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba kami ditimpa azab). Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (pada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami.
Kita sangat dianjurkan untuk mengejar kebaikan lailatulqadar dengan memperbanyakan ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Rasullulah SAW sangat menggalakkan kita menghidupkan malam itu dengan amal ibadat.
Baginda sendiri memperbanyakan amal ibadatnya pada bulan Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir. Bahkan keluarganya dibangunkan, diajak untuk memperbanyakkan amal di tengah malam. Sangat beruntung bagi sesiapa yang memperoleh kesempatan beribadah pada malam itu.
Oleh itu marilah kita menyahut seruan ini bagi merebut peluang yang Allah berikan kepada kita dengan memperbanyakan amal ibadat dan mendidik jiwa dan nafsu kita agar kita kembali kepada fitrah.