Gombak – Telah berlangsung Program Nature 3G (Grow, Green & Groom) anjuran bersama Kebun Komuniti Kita Batu 9, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gombak Utara, Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), IKRAM Gombak, Wanita IKRAM Gombak dan Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) pada 8 Januari lalu di sini.
Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah “scavenger hunt” bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun, melukis dan mewarna bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun, mengutip dan mengumpul sisa kering (plogging) untuk semua peringkat umur dan sesi belajar kemahiran asas memasak serta membuat kompos.
Dalam perkembangan sama, program yang disertai oleh pelbagai lapisan umur ini turut disertai oleh anggota masyarakat daripada berbilang bangsa dan pelbagai latar belakang. Program tersebut berakhir pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.