KOTA BHARU, 30 Ogos 2022 – Telah tamat program jelajah “Youth For Tomorrow” di 14 buah sekolah di sekitar Kota Bharu. Malaysian Against Pornography (MAP) negeri Kelantan salah satu Jawatankuasa di bawah Wanita IKRAM Negeri Kelantan telah turut sama menjayakan program ini bersama-sama agensi dan NGO lain seperti ReHAK, One Stop Centre For Addiction (OSCA), AADK, Unit Kaunseling & Psikologi PKD, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu dan Unit HIV PKD.
Penganjur utama program ini adalah Unit Remaja PKD Kota Bharu dan ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan remaja tentang tingkah laku berisiko terutamanya HIV/AIDS. Mulai tahun 2011 faktor utama jangkitan HIV/AIDS telah berubah daripada perkongsian jarum suntikan kepada seksual. Pada tahun 2017, 91% kes adalah disebabkan jangkitan melalui seksual (homoseksual dan heteroseksual) manakala untuk perkongsian jarum menurun kepada 3%. Oleh itu, pencegahan awal adalah diharap dapat membendung perkara ini daripada terus berlaku pada masa akan datang. Antaranya memberi kesedaran tentang bahaya pornografi dan ancaman sexual grooming (pengantunan seksual) terhadap kanak kanak serta remaja. Selain itu, sesi ceramah dan LDK adalah berkaitan alam remaja, ancaman dadah, sentuhan selamat dan tidak selamat serta berkaitan perubahan sistem reproduksi remaja. Semoga para peserta mendapat manafaat daripada program ini.