SHAH ALAM, 1 Mei – Kira-kira 40 orang perwakilan dan 18 pemerhati Wanita IKRAM dari seluruh negeri Selangor hadir dalam Majlis Perwakilan Wanita IKRAM Negeri Selangor (MPWN) 2024 yang telah berlangsung di sini pagi tadi.
Mengalu-alukan kedatangan semua perwakilan dan pemerhati ke MPWN kali ini, Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman dalam ucapannya menegaskan tentang kepentingan mengurus organisasi berpandukan ilmu dan kemahiran pengurusan yang strategik dan bersistematik untuk melahirkan kesan dan tujuan yang efektif.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Puan Norhakimah Mohamud turut hadir mewakili Ketua Wanita IKRAM Malaysia untuk menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.
Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan pembentangan laporan tahunan Wanita IKRAM Negeri Selangor oleh Setiausaha Wanita IKRAM Negeri Selangor, Puan Roselinee Mohammad Radzi sebelum disusuli dengan pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari, Puan Sofiah Hassan.
Selain itu, majlis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan mantan Ketua Wanita IKRAM Kawasan bagi sesi 2022-2024 selepas berlangsungnya pemilihan Baharu dalam Mesyuarat Agung Wanita Kawasan (MAWK) di seluruh kawasan di negeri Selangor baru-baru ini.
Majlis berakhir dengan ucapan penangguhan oleh Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman dan bacaan doa penutup sebelum para perwakilan bersurai pada kira-kira jam 1 petang.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Wanita IKRAM Malaysia, Puan Hafsah Syakirah Ahmad Kamil dan Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Muhammad Azhar Zailani.