SHAH ALAM – Seramai 38 orang perwakilan dan 6 pemerhati dari seluruh negeri Selangor hadir dalam Majlis Perwakilan Wanita IKRAM Negeri Selangor (MPWN) 2023 yang telah berlangsung di sini pagi tadi.
Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Norhasmah dalam ucapannya menjelaskan mengenai hala tuju dan fokus terkini Wanita IKRAM Negeri Selangor kepada para perwakilan selain menekankan tentang pendekatan-pendekatan yang perlu diambil perhatian sepenuhnya dalam mengemban tugas dakwah.
Majlis seterusnya telah dirasmikan oleh Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh. Turut hadir sama secara dalam talian, mendengar amanat dan ucapan perasmian Ketua Wanita IKRAM Malaysia ialah para perwakilan dari Wanita IKRAM Negeri Melaka dan Sarawak.
Dalam perkembangan sama, laporan aktiviti Wanita IKRAM Negeri Selangor telah dibentangkan oleh Setiausaha Wanita IKRAM Negeri Selangor, Puan Roselinee Mohammad Radzi setakat Mei 2023 sebelum disusuli dengan pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari, Puan Sofiah Hassan.
Di samping itu, MPWN kali ini juga menyaksikan undian pemilihan dibuat bagi jawatan Pengerusi Tetap MPWN yang baru selepas menerima perletakan jawatan penyandangnya, Puan Zuraidah Kornain dalam majlis sama dan para perwakilan telah memutuskan Dr. Suriza Ahmad Zabidi, perwakilan dari kawasan Selayang sebagai Pengerusi Tetap MPWN yang baru.
Antara yang turut hadir memenuhi jemputan, wakil Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Sabariah Baharun, Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Selangor, Prof. Madya Dr. Muhammad Azhar Zailani dan Bendahari IKRAM Negeri Selangor, Hj. Mohd Rosli Samid.