SHAH ALAM – Melalui permuafakatan dan kolaboratif strategik, kekuatan dan tenaga semua agensi berkaitan boleh disinergikan dalam bidang fokus yang melibatkan kebajikan masyarakat umum.
Begitu kata Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman ketika mengadakan kunjungan hormat ke Kelab Rekreasi dan Kebajikan Masyarakat (REKKEB) yang bernaung di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi semalam, di sini.
Kunjungan hormat yang diketuai olehnya mewakili Wanita IKRAM Selangor itu telah disambut oleh Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Muhammad Fahmi Kamal Redzawan dan pasukannya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Fahmi dalam perkongsiannya turut mengutarakan sebahagian daripada realiti permasalahan masyarakat yang hakikatnya begitu menuntut bantuan dan santunan daripada pelbagai pihak.
Beliau yang sangat berbesar hati menerima kunjungan Wanita IKRAM itu turut menyatakan harapannya untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang tumpu pada masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Selangor, Dr. Syamimi Saadon, Setiausaha, Roselinee Mohammad Radzi dan Penolong Setiausaha, Nur Izatul Azreen Apili. Pertemuan tersebut berakhir pada kira-kira jam 12 tengah hari.