SHAH ALAM, 27 Mei – Wanita IKRAM Selangor telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Isnin.
Kunjung hormat tersebut diketuai oleh Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman diiringi Setiausaha Wanita IKRAM Selangor, Puan Roselinee Mohammad Radzi dan 4 lagi delegasi Wanita IKRAM Selangor.
Turut serta dalam pertemuan, Penolong Pengarah Seksyen Sektoral UPEN, Puan Faizah Mohd Shafawi dan Pegawai Penyelaras Pejabat EXCO Kebajikan Masyarakat, Encik Muhammad Azraf Azman serta 3 lagi dari pihak Seksyen Sektoral UPEN.
Dalam kunjung hormat tersebut, Prof. Dr. Norhasmah telah membentangkan mengenai latar belakang dan hasrat kunjungan, di samping berbincang mengenai ruang-ruang kerjasama yang boleh dilibatkan bersama pihak kerajaan negeri Selangor khususnya berkaitan isu wanita.
Pada masa sama, Wanita IKRAM Selangor telah diberi penerangan oleh YB EXCO mengenai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelbagai dasar kerajaan negeri termasuk yang terkini mengenai Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang akan dilancarkan pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Turut dibentangkan, isu-isu keselamatan dan kesejahteraan wanita khususnya langkah-langkah pencegahan dan advokasi mengenainya, hal ehwal undang-undang sekiranya berlaku jenayah melibatkan wanita, komunikasi dalam keluarga, agensi-agensi yang terlibat di bawah kerajaan negeri, kempen-kempen kesedaran mengenai isu keganasan rumah tangga dan anti gangguan seksual serta ekonomi penjagaan yang melibatkan pesakit terlantar dan kanak-kanak OKU.
Pada akhir pertemuan, Yang Berhormat EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Puan Anfaal Saari telah sudi menyampaikan cenderahati peta negeri kepada pihak Wanita IKRAM Selangor. Kunjung hormat berakhir sekitar jam 1.30 petang dengan jamuan makan tengah hari.