KOTA KINABALU – Seramai 25 orang asatizah dalam kalangan ahli IKRAM Negeri Sabah menyertai Kursus “Training of Trainers” (TOT) Klinik Solat – Fahami Bacaan dalam Solatmu yang telah diadakan di Pejabat IKRAM Kawasan Kota Kinabalu pada Sabtu dan Ahad, 4 hingga 5 November lalu di sini.
Kursus dua hari bertemakan “Solat itu Nadi Kehidupan” merupakan anjuran Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor dengan kerjasama IKRAM Negeri Sabah dan Wanita IKRAM Negeri Sabah.
Dengan tujuan untuk melatih dan melahirkan lebih ramai pembimbing dan jurulatih bagi Klinik Solat, para peserta telah diberikan pendedahan mengenai manual, modul dan gerak kerja berkumpulan oleh Dr. Asiyah Abdul Rahman selain turut didedahkan dengan perkongsian pengalaman untuk pengukuhan kefahaman.
Menurut Ketua Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor, Puan Hajah Kairulafdzar Ahmad Shah, penganjur berharap agar program ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan di negeri ini.
“Walaupun pada peringkat permulaan, biasanya akan menghadapi ranjau dan kesukaran, namun, insya-Allah, dengan perancangan yang rapi berbekalkan kecekalan, kita semua akan dapat melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor turut diwakili oleh Ustazah Nor Hafizah Daud, Jamaliah Bongkek dan Ustazah Ramlah Ariff.
Turut hadir Yang Di Pertua IKRAM Negeri Sabah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustafa, Ketua Wanita IKRAM Negeri Sabah, Puan Hajah Siti Zainab Bakar, barisan Ahli Jawatankuasa IKRAM Negeri Sabah dan Wanita IKRAM Negeri Sabah.
Program Klinik Solat – Fahami Bacaan dalam Solatmu merupakan program berkala yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor di kawasan berkenaan untuk meningkatkan kesedaran para peserta khususnya umat Islam di Malaysia untuk memahami makna bacaan dalam solat.
Walau bagaimanapun, kekurangan jurulatih yang ada telah mendorong Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor untuk melancarkan Kursus TOT Klinik Solat – Fahami Bacaan Dalam Solatmu bagi menambah bilangan tenaga pengajar Klinik Solat sekaligus menjadikan program ini sebagai salah satu cara melebarkan santunan dakwah hingga ke akar umbi masyarakat.
Gambar: Para peserta bergambar bersama penyampai. Gambar kecil: Dr. Asiyah Abdul Rahman.