SHAH ALAM, 9 Feb – Majlis Khatam dan Talaqqi 30 Juz Al-Quran menerusi program Jom Mengaji dan Mengajar Mengaji (JoMMM) kumpulan ke-2 anjuran Wanita IKRAM Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat telah berjaya disempurnakan di Pejabat IKRAM Selangor pada Ahad.
13 peserta yang terdiri daripada ahli Wanita IKRAM dari kawasan Shah Alam Selatan itu berjaya menamatkan sesi pelatihan berkenaan yang telah berlangsung secara berkala sejak Ogos tahun lalu dan membawa pulang sijil.
Program latihan dan bimbingan yang memakan masa kira-kira 6 bulan itu bertujuan untuk melatih dan melahirkan individu terlatih yang berupaya menjadi pembimbing dalam program-program anjuran Wanita IKRAM kepada komuniti setempat yang berbentuk tilawah, tadarus dan tahsinul quran.
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur turut mengharapkan agar program-program pendidikan al-Quran dapat terus disuburkan dalam kalangan komuniti.
Terdahulu, majlis sama bagi kumpulan pertama JoMMM yang melibatkan ahli Wanita IKRAM termasuk bukan ahli dari beberapa kawasan di Selangor seperti Ampang Jaya, Serdang, Gombak dan Kuala Selangor telah diadakan pada Mei tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, para peserta telah dibimbing oleh Dr. Pauziah Mohd Arsad.
Hadir sama Penolong Setiausaha Wanita IKRAM Selangor, Nur Izatul Azreen Apili dan Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat, Nur Atiqah Yahya. Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.