AMPANG JAYA, 4 Mei – Seramai 16 orang peserta program Jom Mengaji dan Mengajar Mengaji (JoMMM) Edisi Train the Trainers anjuran Wanita IKRAM Selangor hadir dalam Majlis Khatam dan Talaqqi 30 Juz pada Sabtu lalu di Pejabat IKRAM di sini.
Para peserta yang terdiri daripada ahli Wanita IKRAM termasuk bukan ahli dari beberapa kawasan di seluruh Selangor termasuk Ampang Jaya, Serdang, Gombak dan Kuala Selangor itu berjaya menamatkan sesi pelatihan berkenaan yang telah berlangsung secara berkala sejak September tahun lalu dan membawa pulang sijil.
Memakan masa hampir 8 bulan, para peserta telah didedahkan dengan teknik mengajar tajwid secara mudah dan santai serta tips mengajak orang ramai agar tidak hanya membaca al-Quran tetapi turut meneliti, dan menghayati isyarat-isyarat daripada ayat-ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir (tadabbur).
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur turut mengharapkan agar program-program tilawah, tahsin dan tadabbur al-Quran dapat digerakkan dan disuburkan lagi dalam kalangan masyarakat di tempat masing-masing selepas ini.
Di samping itu, program seumpamanya boleh menjadi salah satu inisiatif yang dapat mendidik masyarakat supaya menghayati al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup seharian.
Sementara itu, para peserta telah dibimbing oleh Dr. Pauziah Mohd Arsad dengan turut dibantu oleh Datin Hajah Hamidah Ibrahim sepanjang sesi pelatihan kali ini berlangsung.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Wanita IKRAM Selangor, Nur Izatul Azreen Apili, Jawatankuasa Tarbiah Negeri Wanita IKRAM Selangor, Wan Fauziah Wan Kadir dan Jawatankuasa Muafakat Strategik Wanita IKRAM Selangor, Suriati Haron. Majlis berakhir kira-kira jam 1 petang.