Wanita IKRAM Sibu telah menganjurkan program IKRAM Sibu Gathering dan Farewell yang dihadiri oleh seramai 30 orang ahli IKRAM Sibu termasuk ahli keluarga. Program ini bertujuan untuk mempererat ukhuwah serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli. Di samping itu, ia juga menjadi platform bagi menyambut tahun baru dengan azam dan niat yang lebih baik serta memberi penghargaan kepada ahli yang bakal berpindah dari Sibu. Program ini berlangsung di Baitul Khadijah, Sibu, bermula jam 10.30 pagi hingga 2 petang.
Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengerusi majlis, Encik Mohd Azimie bin Ahmad, selaku tuan rumah. Seterusnya, sesi tazkirah bertemakan “Hijrah dan Transformasi Diri” disampaikan oleh Ummi Nasyitah, yang menekankan kepentingan menjadikan tahun baru sebagai peluang memperbaiki amal dan hubungan dengan Allah.
Menurutnya, syukur kita telah melangkah ke tahun baru Masihi dan kini berada di bulan Rejab, salah satu bulan haram yang dimuliakan dalam Islam. Bulan ini merupakan masa yang sesuai untuk bermuhasabah, merenung perjalanan hidup dan mempersiapkan diri menyambut Ramadan yang penuh keberkatan.
Seterusnya beliau menyampaikan pesanan khusus buat ahli yang bakal berpindah. Mereka diingatkan agar terus mengekalkan hubungan dengan jemaah IKRAM di kawasan baharu. Jemaah IKRAM bukan sekadar organisasi, tetapi sebuah keluarga yang sentiasa menyokong dan membimbing. Teruskan berhubung dan sertai aktiviti yang dianjurkan oleh IKRAM di tempat baharu.
Penghijrahan adalah takdir Allah yang pasti mempunyai hikmah. Berdoalah agar sentiasa diberi kekuatan untuk berbakti kepada agama di mana sahaja berada. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69, yang bermaksud, “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” Ukhuwah tetap utuh meskipun berjauhan dan doa dari warga IKRAM Sibu akan terus mengiringi ahli-ahli yang berpindah. Semoga terus menjadi inspirasi dan diberkati di mana sahaja berada.