IKRAM MUDA Kuching dengan kerjasama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak baru-baru ini menganjurkan program ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang melibatkan 110 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Al-Amin Kuching. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang perubahan fizikal dan emosi serta kaedah menangani cabaran sosial.
Program setengah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan guru. Pengisian telah disampaikan oleh tenaga profesional dari Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang diketuai oleh Puan Rosmawati Zainal atau lebih dikenali sebagai Ummi Ros. Antara pengisian Utama mereka adalah mengenai perubahan dalam proses tumbesaran serta cara memahami dan mengurus emosi. Penceramah turut berkongsi kaedah untuk mengatasi cabaran sosial yang dihadapi oleh remaja.
Antara kaedah yang diketengahkan ialah meningkatkan kesedaran diri, memantapkan nilai agama dan menolak pengaruh negatif. Pelajar diajar mengenali potensi diri, mengukuhkan amal ibadat seperti solat dan membaca al-Quran, serta cara menolak ajakan negatif daripada rakan sebaya. Pelajar juga diberi kesedaran tentang kesan buruk zina dari aspek emosi, sosial dan agama.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana pelajar dapat bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan daripada penceramah. Pihak sekolah berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pengisian lebih menyeluruh. Dengan program ini, diharapkan pelajar mampu membuat keputusan bijak dalam kehidupan dan menjauhi perbuatan tidak bermoral, selaras dengan usaha Sekolah Menengah Al-Amin Kuching untuk melahirkan generasi insan rabbani yang mampu membangunkan kehidupan dirinya, keluarga, masyarakat dan negara.