




Seremban, 14 Okt – Wanita IKRAM Negeri Sembilan bersama Malaysian Against Pornography NS telah hadir menyampaikan ceramah Pendidikan Reproduksi dan Seksualiti untuk pelajar-pelajar di sini Jumaat lepas. Ceramah yang disasarkan kepada pelajar perempuan tingkatan 4 dan 5 ini telah disampaikan oleh Dr. Siti Nawwal binti Ahmad Nasfy yang merupakan Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar.
Ceramah ini memfokuskan topik berkenaan sistem reproduksi dan seksualiti wanita yang sering dianggap taboo untuk dibincangkan dengan gadis remaja agar mereka lebih memahami fasa perubahan dan perkembangan diri mereka dengan lebih mendalam. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kesan buruk sekiranya terjebak dengan pornografi dan seks bebas.
Ceramah yang berdurasi sejam ini turut mendidik para pelajar berkenaan langkah pencegahan dan tindakan sewajarnya yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa kepada ‘predator’ yang ketagihan pornografi. Para pelajar sangat aktif memberikan maklum balas sepanjang ceramah berlangsung dan kelihatan teruja kerana telah menimba ilmu baru yang bermanfaat.
Pihak Malaysian Against Pornography mengucapkan terima kasih atas jemputan dari pihak SMK Teknik Tuanku Jaafar dan berharap dapat menjalankan aktiviti seumpama ini di sekolah-sekolah lain juga.