SHAH ALAM, 23 Jun – Seramai 17 orang peserta yang terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kelulusan bidang agama menyertai Bengkel Kemahiran Penyampaian Asatizah anjuran Wanita IKRAM Selangor yang telah diadakan di Pejabat IKRAM negeri, di sini semalam.
Program dalaman seumpama itu julung kalinya dilaksanakan secara terancang dengan modul bimbingan daripada Jurulatih Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS), Ustaz Mohd Asri Ismail.
Objektifnya antara lain adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang kaedah penyampaian berkesan dan memupuk keyakinan diri para peserta untuk berhadapan dengan masyarakat dan seterusnya mampu melonjakkan kredibiliti dan reputasi organisasi yang diwakili oleh para peserta.
Menurut pengacara majlis merangkap Setiausaha Wanita IKRAM Selangor, Roselinee Mohammad Radzi, antara modul yang dijalankan menerusi bengkel ini termasuklah ‘mindset’ dan ‘heartset’ dalam penyampaian di khalayak, kanvas ucapan dan pemilihan ‘pitching’, pendedahan mengenai teknik menjawab soalan khalayak, sesi simulasi pengucapan awam dan teknik latihan kendiri.
Dalam perkembangan sama, Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman dalam ucapannya turut berharap agar bengkel seumpama ini menjadi projek rintis kepada Wanita IKRAM Negeri dalam usaha mempertingkat kapasiti ahli dalam kemahiran penyampaian yang berkesan serta mampu menyampaikan mesej yang tepat dalam mendidik masyarakat ke arah kebaikan.
Selain itu, pihak penganjur turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan bengkel ini khususnya kepada pihak KEPENTAS dan semua wakil Wanita IKRAM kawasan di Selangor. Bengkel yang mengetengahkan 4 modul dalam kemahiran penyampaian itu berakhir tepat pada jam 5 petang.