“Apa yang ada dalam filem yang anda tonton memang dahsyat, namun situasi sebenar adalah lebih dahsyat!” Begitulah ucapan Lt Kol Kamal Idris Johari sebelum sesi tontonan filem MALBATT: Misi Bakara.
Malam tadi, IKRAM Muda telah menganjurkan ‘Movie Night – MALBATT Misi BAKARA’ sebagai salah satu program Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) yang sedang berlangsung di peringkat Pertubuhan IKRAM Malaysia di seluruh negara dengan tema ‘Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama’.
Tontonan tersebut dihadiri pemimpin Pertubuhan IKRAM Malaysia iaitu Ketua IKRAM Muda, Khairul Anuar Kamaruddin dan Pengarah SBK 2023, Dr Sabariah Baharun. Program ini ditaja oleh IKRAM Muda Kawasan Batu, Kuala Lumpur.
Ia turut diserikan dengan kehadiran dua tokoh MALBATT yang terlibat dengan misi ini iaitu Lt Kol Kamal Idris Johari (B) dan Kapten Mazlan Fauzi (B).
Penghargaan untuk tokoh MALBATT
Kapten Mazlan adalah Ketua Platun 5 dan nama panggilan 22, yang mempunyai 30 anggota. Beliau juga adalah ketua pasukan penembak tepat MALBATT.
Pada malam misi Bakara, Kapten Mazlan membawa 13 anggota dalam pasukan Kompeni Bravo, manakala Kapten Kamal pula Ketua Platun ke-2 berada dalam pasukan Kombat Kompeni Alpha.
Misi tersebut bermula 11.00 malam hingga 5.00 pagi. “Koperal Mat Aznan mati atas ribaan saya,” ujar Kapten Kamal.
Filem penuh aksi ini dapat menunjukkan betapa Malaysia sebagai sebuah negara kecil mampu memberikan khidmat terbaik sebagai anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Malaysia bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dalam misi pengamanan walau terpaksa berkorban nyawa. Bukan kepakaran ketenteraan yang ingin diiktiraf, namun kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugas dan arahan.
Kapten Mazlan dan Lt Kol Kamal Idris
Filem ini juga dapat memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya sebuah negara yang aman damai dan harmoni. Persengketaan membawa kepada kehancuran sesebuah negara.
Pesan Kapten Mazlan kepada penonton, sayangilah negara kita sebab kemerdekaan itu mahal. Negara yang tidak merdeka tidak akan ada orang-orang yang bebas dan senang, penuh dengan kemiskinan dan ranjau.
Siti Hamisah Manan
Ketua Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia