IKRAM Mengalu-alukan Akaun Simpanan Syariah KWSP

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas pengumumannya untuk menyediakan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan Syariah yang akan bermula pada awal 2017 dan dibuka pendaftarannya untuk ahli KWSP pada hari ini.

IKRAM amat mengalu-alukan langkah ini dan percaya umat Islam telah lama menantikan pengumuman sebegini.

IKRAM mengucapkan syabas kepada orang ramai yang telah berpusu-pusu beratur sejak awal pagi di hadapan pejabat-pejabat KWSP. Ini menunjukkan kesungguhan masyarakat untuk memastikan simpanan mereka diuruskan secara halal.

Ini juga berkemungkinan disebabkan mereka tidak mahu terlepas peluang kerana jumlah simpanan Syariah yang ditawarkan kali ini hanya berjumlah RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP yang bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Sehubungan dengan itu, IKRAM menyeru pihak KWSP agar berusaha untuk memenuhi semua permintaan umat Islam ini dengan menyediakan dana patuh Syariah yang lebih besar seberapa segera.

IKRAM juga mencadangkan KWSP untuk menambah baik lagi sistem pendaftaran dan menjadikannya lebih mesra pengguna seperti membenarkan pendaftaran melalui sistem atas talian (online), melalui telefon pintar atau melalui majikan masing-masing.

IKRAM menggalakkan semua ahli KWSP Muslim dan seluruh ahli IKRAM khususnya untuk segera mendaftarkan pertukaran kepada akaun Simpanan Syariah agar harta mereka diuruskan dengan cara yang halal dan diredhai Allah SWT.

Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai manusia makanlah apa dalam dunia ini daripada yang halal lagi baik, dan janganlah ikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia bagimu adalah musuh yang nyata.” (al-Baqarah 2:16)

IKRAM juga menyeru pihak kerajaan untuk memastikan semua dana milik negara dan masyarakat diuruskan secara patuh Syariah sepenuhnya.

“Rezeki yang halal membawa keberkatan dan kemakmuran.”

 

“Ukhuwah Teras Kegemilangan”

Ustaz Hj Burhanuddin Lukman

Naib Presiden
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia