KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM) telah melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) 2024 di Kompleks IKRAM Pusat semalam.
Program tahun ini mengetengahkan tema “Mental Sejahtera, Keluarga Bahagia” yang memberi fokus kepada kesejahteraan mental dalam kalangan pasangan muda.
Ketua Kluster Masyarakat Progresif IKRAM, Hj. Ainullotfi Abdul Latif dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa pemilihan tema ini selari dengan aspirasi kebangsaan dalam membentuk masyarakat madani.
“IKRAM telah memilih tema berkaitan kesejahteraan mental bagi sambutan bulan keluarga kali ini. Tema ini memberikan tumpuan kepada nilai-nilai murni dalam pembinaan keluarga yang harmoni dan sejahtera dalam masyarakat madani,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa semua program yang dirancang bertujuan mempersiapkan generasi muda ke arah pembinaan keluarga yang sejahtera, sekali gus mengukuhkan institusi keluarga sebagai tiang utama dalam membentuk masyarakat progresif.
Presiden IKRAM, Hj. Badlishah Sham Baharin dalam ucapan perasmiannya memetik pepatah “It takes a village to raise a child” bagi menekankan kepentingan peranan komuniti dalam pembangunan keluarga.
“Ia memerlukan satu kampung atau komuniti untuk membesarkan anak. Jadi, kita perlu membina komuniti supaya saling melindungi antara satu sama lain: menjaga, melihat, memerhati anak sendiri dan anak orang lain. Itu yang perlu dihidupkan, semangat komuniti untuk membentuk masyarakat yang sejahtera,” ujar beliau.
Merujuk kepada konsep ‘qawwam’ dalam Islam dalam Surah an-Nisa’ ayat 34, Hj Badlishah Sham menekankan peranan lelaki sebagai pelindung dan pemimpin keluarga.
“Lelaki yang qawwam bertanggungjawab memimpin, melindungi dan memelihara keluarganya. Ini adalah peranan besar dalam membangunkan dan mendidik keluarga,” tambahnya.
SBKK 2024 merangkumi tiga program utama termasuk sesi bual bicara mengenai cabaran kesejahteraan dan kesihatan mental dalam kalangan anak muda, termasuk Program Latihan SmartStart 2.0 Mega dan Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana yang akan meraikan 40 pasangan pelbagai kaum dan agama.
Majlis pelancaran SBKK 2024 dihadiri oleh Penasihat Better Dads Malaysia, Jason Leong; wakil Hidayah Centre Foundation, Muhammad Nadzmin Hairuddin dan Muhamad Syahmi Sabidin; Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr. Kamaliah Noordin dan Abdur Rahman Zuleffendi.
Turut hadir daripada IKRAM ialah Naib Presiden IKRAM, Prof. Dr. Hanim Salleh; Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallahwahiu Mohd Salleh; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM, barisan kepimpinan JKP Wanita IKRAM, Ahli Jawatankuasa Institusi Keluarga Utuh dan wakil IKRAM Muda, Anas Kamarul Baharin.
Program tahunan ini bertujuan mengukuhkan institusi keluarga dalam menghadapi cabaran moden seperti tekanan kewangan, sosial dan keseimbangan hidup yang sering mempengaruhi kesejahteraan mental pasangan muda serta kestabilan hubungan perkahwinan mereka.