Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan kesemua 13 wanita peserta Misi Womens Boat to Gaza (WBG) oleh tentera rejim negara haram Israel.
Kesemua ahli misi wanita tersebut adalah dari pelbagai negara, salah seorang dari Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan.
Objektif utama misi ini adalah untuk memecahkan tembok sekatan terhadap Gaza yang telah menyebabkan rakyat Palestin hidup dalam tekanan dan kesengsaraan.
IKRAM mendesak agar kesemua tawanan tersebut dibebaskan dengan serta-merta.
IKRAM juga mendesak agar kerajaan di seluruh dunia, termasuk kerajaan Malaysia memberi tekanan kepada Israel untuk membebaskan semua tahanan dan menamatkan sekatan terhadap Gaza.
Dr Fauziah adalah juga Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM dan suaminya, Prof Dr Hj Mohd Alauddin Mohd Ali adalah Bendahari IKRAM Pusat. IKRAM berharap Prof Alauddin dan keluarga akan terus bersabar dengan ujian ini.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM