Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel Zionis di Gaza semasa Ramadan, yang mengakibatkan kematian lebih 400 rakyat Palestin, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas yang tidak berdosa.
Enggan bersetuju dengan fasa kedua gencatan senjata, Israel turut menahan sebarang kemasukan bahan bantuan ke Gaza semenjak dua minggu yang lalu, di samping menghentikan bekalan elektrik untuk memaksa Hamas tunduk kepada kemahuan mereka.
Semua tindakan ini sangat tidak berperikemanusiaan dan membuktikan pelanggaran serius Israel terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk melanggar Konvensyen Geneva Keempat. Israel jelas terlibat dalam usaha genosid dan pembersihan etnik rakyat Gaza.
IKRAM juga mengecam keras pendirian kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bersekongkol rapat dalam usaha pembersihan etnik di Gaza. Perkara ini jelas apabila Israel menyatakan dengan bangganya bahawa mereka telah mendapat lampu hijau daripada pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memulakan serangan ini.
Bahkan, AS telah menyediakan perlindungan diplomatik serta sokongan politik, moral dan ketenteraan yang besar untuk membantu Israel melakukan pelanggaran sedemikian.
IKRAM melihat bahawa usaha bersama Israel dan Amerika adalah dalam rangka memenuhi agenda jahat Trump yang mahukan Gaza dikosongkan penduduknya dan menjayakan agenda Pelan Pembangunan Semula Gaza di bawah pentadbiran Israel.
IKRAM turut mengecam kempen serangan udara intensif AS di Yaman baru baru ini, untuk menghalang Houthi meneruskan sokongan mereka terhadap Gaza, yang jelas akan menjejaskan kestabilan serantau Timur Tengah.
Oleh itu, IKRAM menuntut empat (4) tindakan berikut:
- Gencatan Senjata Segera: Menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaksa semua pihak untuk menghentikan serangan di Gaza dan Yaman untuk mengelakkan sebarang kehilangan nyawa selanjutnya.
- Penyiasatan Bebas: Permulaan segera penyiasatan antarabangsa yang saksama di bawah pihak ICC terhadap potensi jenayah perang, dengan akauntabiliti terhadap pihak pelaku.
- Akses Kemanusiaan: Kemasukan bantuan tanpa had ke Gaza dan Yaman untuk menangani kekurangan makanan, ubat-ubatan dan perkhidmatan penting yang kritikal.
- Penyelesaian Politik: Komitmen yang diperbaharui terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Palestin-Israel melalui pematuhan kepada penyelesaian yang mengambil kira hak kemanusiaan rakyat Palestin secara adil dan saksama melalui proses perundingan secara aman dan damai.
Masyarakat antarabangsa, terutamanya OIC dan Majlis Keselamatan PBB, mesti mengatasi kebuntuan politik untuk menguatkuasakan langkah-langkah ini. Berdiam diri dan tidak bertindak bererti turut bersubahat dalam perlakuan jenayah kemanusiaan.
Kami menggesa semua negara untuk mengutamakan maruah manusia berbanding kepentingan geopolitik dan bertindak pantas untuk menamatkan kitaran keganasan ini.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia