Dalam pertemuan itu, Ismail merakamkan penghargaan atas usaha-usaha NGO seperti IKRAM, MyCARE dan lain-lain serta rakyat Malaysia yang sentiasa konsisten memberikan sokongan padu terhadap perjuangan pembebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel di samping menghulurkan pelbagai bantuan kemanusiaan.
Ismail turut melahirkan keyakinan bahawa Persidangan Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) Kali Ketiga yang akan berlangsung di Malaysia pada 8 dan 9 Februari ini akan berjaya mencapai matlamatnya dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia, Parlimen Malaysia dan NGO-NGO.
Beliau juga mengalu-alukan sokongan Malaysia terhadap penduduk Palestin, dan pada masa yang sama menghargai keberanian pemimpin Malaysia atas sokongan yang diberikan berhubung hak warganegara Palestin.
Ismail Haniyeh dilaporkan tiba di Malaysia pada Selasa dalam siri lawatannya ke beberapa buah negara Islam antaranya Iran, Oman, Turki and Qatar. Beliau turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lalu.
Delegasi IKRAM diwakili Presiden, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Timbalan Presiden Hj Badlishah Sham Baharin, Setiausaha Agung Hj Mahdzir Md Isa dan Ahli-ahli JKP sementara MyCARE diwakili Pengerusi Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, CEO Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan penaung Rose2Rose Dr Hjh Fauziah Mohd Hasan.