KUALA LUMPUR – “Jika kita serius mahu memperkukuh institusi keluarga, sudahkah kita cukup melabur dalam membangunkan lelaki sebagai suami dan bapa?”
Persoalan ini antara perkara yang diketengahkan Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat, 14 Ogos lalu.
IKRAM diwakili oleh Pn. Roselinee Mohamad Radzi (Setiausaha Wanita IKRAM) dan Pn. Nur Idayu Abd. Rahman (Ketua Jabatan Wanita IKRAM).
Sesi tersebut turut membincangkan isu berkaitan penjagaan dan caregiver, perlindungan kanak-kanak, kebajikan warga emas, pengukuhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta penglibatan lelaki dalam menangani isu sosial.
Namun, bagi IKRAM, satu ruang yang perlu diperkukuh ialah pembangunan lelaki sebagai bapa sebelum keluarga berdepan konflik atau krisis.
Berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan JAKIM, LPPKN dan pelbagai agensi sejak 2022 melalui inisiatif Hari Bapa, Lelaki Qawwam, Podcast Qawwam, Modul Lelaki Qawwam dan Father Connect, IKRAM melihat bahawa ramai lelaki mahu menjadi suami dan bapa yang lebih baik, tetapi memerlukan kemahiran, sokongan dan ruang yang sesuai.
Justeru, dalam sesi libat urus itu, IKRAM mencadangkan konsep “Bapa Hadir, Keluarga Sejahtera” – satu intervensi komuniti yang membangunkan kemahiran keibubapaan, pengurusan emosi, komunikasi, hubungan ayah-anak serta sokongan rakan sebaya secara berstruktur dan berterusan, bukan sekadar program sehari.
Cadangan ini selari dengan Dasar KASIH Keluarga Negara, Indeks Kesejahteraan Keluarga dan inisiatif Lelaki BUDIMAN serta menyokong aspirasi RMKe-13 dan Ekonomi MADANI.
Oleh itu, IKRAM sedia bekerjasama dengan KPWKM dan LPPKN untuk membangunkan modul, melatih fasilitator, menggerakkan komuniti dan mengukur impak.
Usaha ini penting kerana keluarga yang kukuh bukan hanya memerlukan ibu yang berdaya. Ia juga memerlukan bapa yang hadir secara fizikal, emosi dan bertanggungjawab.




