IKRAM mengecam kudeta dan penggulingan seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui pilihan raya. Rampasan kuasa jelas menafikan hak dan kemahuan rakyat melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Amat mendukacitakan tindakan ini didukung oleh mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan. Juga amat dibimbangi rampasan kuasa ini tidak akan berakhir dengan begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang tidak berkesudahan.
IKRAM kesal dengan campur tangan pihak luar dalam urusan nasional negara Mesir sedangkan proses demokrasi masih terbuka serta peralihan ke arah politik demokrasi sedang berjalan. Presiden Dr Mohamad Morsi sendiri menggalakkan media yang bebas dan kebebasan hak untuk rakyat bersuara.
IKRAM menyokong pendirian Presiden Dr Mohamad Morsi, Parti Keadilan dan Kebebasan serta Ikhwan Muslimin untuk menentang secara aman tindakan luar undang-undang ini. Selama ini mereka dianggap tegas dan konsisten bersama golongan yang cintakan keamanan untuk merealisasikan perubahan selaras dengan undang-undang.
Tindakan menahan Presiden Morsi oleh pihak tentera adalah tindakan yang bertentangan dengan lunas undang-undang dan demokrasi. IKRAM mendesak agar semua pemimpin Ikhwan Muslimin dan tahanan politik lain dibebaskan segera. Pihak tentera dan polis harus memberi jaminan keselamatan kepada Presiden Morsi, para pemimpin Ikhwan Muslimin dan pengikutnya daripada sebarang penindasan dan penyeksaan.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden