Terbaru, pada Sabtu 7 Januari lalu, seramai 26 orang termasuk Yang Dipertua IKRAM Kajang Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, Mas’ul Tarbiah Ustaz Salehan Ayub, AJK Tarbiah dan ahli-ahli usrah IKRAM Kajang berjaya menawan puncak Broga sebagai sebahagian daripada program tarbiah daerah. Turut serta dalam misi ini adalah seorang pelajar Tahun Empat Sekolah Sri Al-Amin Bangi.
Dengan sebahagian peserta mengikuti program qiamullail bulanan di Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada malam sebelumnya, semua peserta kemudiannya berkumpul di pejabat IKRAM Daerah Kajang sekitar jam 5 pagi sebelum bertolak ke Semenyih menaiki tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.
Seperti kebiasaannya, lebih ramai orang berkunjung ke Bukit Broga pada hujung minggu dan cuti umum jika dibandingkan dengan hari-hari lain. Ketika peserta sampai, kenderaan termasuk bas kelihatan sudah penuh diparkir di kaki bukit. Seorang peniaga wanita berbangsa Tionghoa tersenyum puas apabila gerai jualan lampu suluhnya menjadi tumpuan. Beberapa kumpulan pendaki kelihatan sudah memulakan perjalanan mereka.
Setelah menunaikan solat Subuh berjemaah di celah-celah deretan pohon kelapa sawit, para peserta berkumpul dalam bentuk bulatan untuk satu taklimat ringkas. Sesi pemanasan badan diketuai oleh Sdr Azman Hussain.
Kira-kira jam 6.20 pagi, para peserta mula bergerak menuju ke puncak Broga. Meskipun beberapa orang memilih untuk tinggal di kaki bukit atas faktor kesihatan, mereka tetap mengiringi perjalanan peserta lain dengan doa dan semangat yang berkobar-kobar.
Perjalanan pendakian tanah setinggi 400 meter itu menyajikan cabaran yang pelbagai. Dengan lampu suluh yang terhad, pergerakan menyusur kegelapan subuh perlu dilakukan dengan berhati-hati. Laluan kadangkala rata, kadangkala berbatu. Sesekali pendaki harus lebih fokus kerana terdapat lubang dan jurang yang agak dalam. Mujurlah hari itu tidak hujan, jadi perjalanan agak lancar. Sesekali ada juga insan pendaki berhati mulia yang sengaja berhenti di kawasan-kawasan ‘bahaya’ untuk menyuluh jalan buat orang lain yang tidak membawa lampu suluh. Semoga Allah mengganjari mereka dengan kebaikan jua.
Pada jarak separuh pendakian, suasana indah pemandangan dari tempat tinggi mula terasa. Ribuan lampu jalan, lampu rumah dan lampu bangunan berlatarkan ufuk langit yang kemerahan bagaikan sebuah lukisan malam yang cukup klasik. Ah, masya-Allah cantiknya…
Keletihan belum begitu terasa. Keinginan melihat sang mentari meleraikan selimut malam begitu membuak-buak, apatah lagi untuk disaksikan dari tanah tinggi yang bukan semua orang berpeluang menikmatinya.
Beberapa kali melalui kawasan-kawasan yang sangat curam yang ada kalanya kelihatan tali dan kesan takukan tanah untuk memudahkan pendaki, barulah peserta terasa penat dan lenguh kaki. Namun, sekitar 300 meter dari aras laut, kepenatan itu terbang bersama angin pagi apabila waktu terbit matahari tiba.
Subhanallah… kemilau cahaya keemasan perlahan-lahan merangkak naik dari celah-celah bukit, mungkin berpuluh mungkin beratus kilometer, di kejauhan sana. Kesemua peserta IKRAM Kajang berhenti seketika untuk menikmati keindahan alam ciptaan yang Maha Kuasa. Sambil mata memerhati, hati berzikir. Yang membawa kamera sibuk merakam gambar, yang lain bertutur memuji kebesaran Tuhan sambil bersenda gurau mengeratkan persaudaraan. Ada juga yang mengambil kesempatan berbaring untuk melepas lelah.
Laluan terakhir menurun sedikit sebelum naik semula dengan curam. Meskipun cuma 14 peserta yang menggagahi cabaran terakhir ini untuk menjejaki puncak Broga, ia adalah kejayaan bersama IKRAM Kajang kerana telah dilakukan secara kolektif. Suasana di puncak lebih mengasyikkan. Sedar tak sedar, para peserta menghabiskan masa hampir sejam di atas sana untuk bersantai, mengabadikan foto diri dan bersembang. Setelah puas memandang kehijauan dan menghirup udara segar, perut mula terasa lapar.
Perjalanan turun pun dimulakan. Di hentian kedua terakhir, peserta bergabung semula untuk sesi bergambar beramai-ramai. Riak puas tidak dapat disembunyikan lagi kerana apa yang dirancang berjaya dilaksanakan.
Kepuasan dan kegembiraan berterusan di kaki bukit apabila setiap peserta dihulurkan jeli kelapa yang menyegarkan oleh Mas’ul Tarbiah. Jeli kelapa tersebut dibeli daripada seorang peniaga di situ.
Dalam perjalanan pulang, para peserta dibawa pula singgah ke sebuah kedai mamak untuk menikmati sarapan. Selepas sarapan, barulah mereka kembali ke rumah masing-masing.
Sesungguhnya pendakian Bukit Broga adalah satu pengalaman unik kerana kesukaran dibayar dengan kejayaan, ketidakupayaan disokong oleh kerja berpasukan manakala jurang usia dirapatkan oleh ukhuwah fillah.