Mou ini ditandatangani semasa Majlis Pelancaran Inisiatif Johor Bebas Asap Rokok sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 oleh YAB Menteri Besar. Turut hadir menyaksikannya ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman Md Isa, Pengerusi MySihat Toh Puan Dato’ Seri Dr Aishah Ong dan Exco Kesihatan Negeri Johor YB Dr Robiah Kosai.
IKRAM Johor terlibat dalam JBAR sejak Ogos 2011 bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKN) untuk merealisasikan kempen ini. Pelbagai aktiviti persiapan termasuk bengkel strategik, bengkel kesedaran, bengkel Training of Trainers (TOT) dan kaji selidik pandangan awam telah dilaksanakan bersama.
Malah, IKRAM Johor turut terpilih sebagai agensi pelaksana kempen ini di mana geran kempen daripada MySihat sebanyak RM234,760 telah diluluskan untuk tahun 2012. Dengan geran ini, JKN, IKRAM Johor dan NGO-NGO yang lain di Johor akan melaksanakan aktiviti dan program JBAR bersama-sama.
Penglibatan IKRAM dalam kegiatan ini adalah sebagai perkongsian bijak bersama MySihat dan JKN, sebagai ruang yang luas bagi IKRAM Johor untuk mendekati masyarakat, termasuk sekolah-sekolah, belia, remaja, masjid dan pejabat-pejabat kerajaan serta swasta dalam kempen JBAR ini yang selaras dengan tuntutan Islam supaya umatnya menjaga kesihatan dalam melakukan segala ibadah.
Pengerusi, CEO dan Ahli Lembaga MySihat turut dijemput melawat Kompleks IKRAM Johor selepas selesai majlis pelancaran dan perasmian, di mana mereka telah diperkenalkan mengenai IKRAM dan pelbagai aktiviti dakwah, tarbiah dan kemasyarakatan yang sedang dijalankan.
Delegasi MySihat diiringi oleh Dr Arshad sendiri, YDP IKRAM Johor Prof Madya Dr Ainullotfi Abdul Latif dan beberapa AJK dan aktivis IKRAM Johor. Semoga kerjasama IKRAM Johor dengan MySihat, JKN dan NGO-NGO yang lain membuahkan hasil yang positif bagi memastikan masyarakat Johor bebas daripada asap rokok, insya-Allah.