IKRAM telah lama terlibat dalam pelbagai gabungan NGO. Antara yang paling awal adalah penglibatan dalam ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s). Hj Zaid Kamaruddin pernah menjadi Pengerusi ACCIN. Antara perkara penting yang dilakukan oleh ACCIN pada awal penubuhannya adalah usaha membantah penubuhan IFC (Inter Faith Council). Usaha membantah penubuhan IFC ini diteruskan semasa Hj Zaid Kamaruddin menjadi Pengerusi ACCIN. Ibu Pejabat JIM pernah menjadi pejabat sekretariat gerakan membantah IFC.
Seterusnya adalah penglibatan dalam GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) yang dianggotai oleh lebih lapan puluh buah organisasi. Objektif utama GMI adalah untuk memansuhkan ISA dan membebaskan semua tahanan. Pengerusi JK Kerja pertama GMI adalah Hj Zaid Kamaruddin manakala Pengerusi kedua adalah Hj Syed Ibrahim Syed Noh.
Berkaitan Bersih 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil), Hj Zaid Kamaruddin, Presiden JIM ketika itu, adalah antara pengasasnya. Matlamat Bersih 2.0 adalah untuk memperjuangkan pilihanraya bersih, bebas dan adil. Gabungan Bersih 2.0 adalah inisiatif pelbagai NGO dan merupakan lanjutan daripada gabungan Bersih, yang dipimpin oleh parti-parti politik.
GBM (Gabungan Bertindak Malaysia) diasaskan bagi melahirkan Malaysia yang lebih baik. Ia merupakan gabungan NGO dari pelbagai latarbelakang. Piagam GBM mempunyai 15 perkara yang disepakati oleh semua anggota GBM. Pada masa ini fokus GBM adalah dalam bidang pendidikan, perpaduan nasional dan ekonomi.
MAIM (Majlis Islami Malaysia) adalah gabungan NGO Islam yang telah diusahakan semasa Ustaz Nakhaie Ahmad menjadi Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). IKRAM telah memainkan peranan yang aktif bagi menjayakan MAIM.
Negara-Ku (Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia) adalah inisiatif terkini bagi menangani ketegangan kaum, agama dan politik yang dicetuskan oleh pelbagai pihak. Hj Zaid Kamaruddin, Naib Presiden IKRAM adalah Pengerusi Jawatankuasa Pepandu.
Semua penglibatan adalah dalam rangka melaksanakan tanggungjawab bagi membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik.
Bersama-sama kenyataan ini disertakan carta untuk merumus fakta-fakta di atas. Semoga ia membantu memperjelaskan tentang penglibatan IKRAM dan JIM dalam pelbagai gabungan masyarakat madani.
Hj Nahar Md Nor
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia