Saban tahun kita menerima lagi jemputan memasuki bulan yang penuh kemuliaannya dalam kalendar Islam, iaitu bulan Ramadan. Tidak semua bertuah dapat menikmati hari-hari dalam bulan Ramadan, biarpun cuma satu hari.
Oleh kerana kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang berpeluang memasuki bulan Ramadan, seharusnya kita memaknai nilai kehidupan yang terselit dalam bulan penuh pengampunan ini.
Bulan Ramadan secara umumnya diinterpretasikan sebagai ‘bulan lapar dan dahaga’ kerana umat Islam disyariatkan untuk menahan diri daripada nafsu makan, minum serta apa-apa yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari.
Persoalannya, apa sebenarnya erti Ramadan?
Daripada sudut bahasa, perkataan Ramadan berasal daripada kata akar (رمض) yang bermaksud panas yang semakin hangat. Mengikut kata al-Imam al-Qurtubi:
وَرَمَضَانُ مَأْخُوذٌ مِنْ رَمَضَ الصَّائِمُ يُرْمَضُ إِذَا حَرَّ جَوْفُهُ مِنْ شِدَّةِ الْعَطَشِ
“(Kalimah Ramadan itu) diambil daripada perkataan (ramaḍa iaitu) yang membawa maksud kepanasan yang dilalui oleh orang yang berpuasa itu iaitu ketika hangatnya organ perutnya kerana terlalu haus.” (Tafsir al-Qurṭubi, 2/290)
Oleh kerana ‘hangatnya organ perut kerana terlalu haus,’ bagi segelintir umat Islam, keadaan ini menghalang diri mereka daripada mendalami erti sebenar Ramadan.
Hakikatnya, bulan ini adalah hadiah daripada Allah kerana ia peluang untuk memperbaharui niat dan diri serta kesempatan untuk mencari nilai kehidupan yang tersimpan dalam kesusahan berpuasa seharian.
‘Ikigai’
Falsafah memaknai nilai kehidupan ini lebih dikenali sebagai ikigai dalam kalangan masyarakat Jepun. Ahli falsafah Perancis pula mengenalinya sebagai raison d’être. Secara kasarnya, ikigai membawa maksud tujuan dan nilai kehidupan, ataupun sebab untuk bangun dan menempuhi kehidupan.
Falsafah ikigai ini telah lama ada di Jepun, namun baru didalami oleh negara Barat setelah beberapa kajian dan pemerhatian dilakukan di Okinawa. Okinawa merupakan salah satu ‘zon biru’ (blue zone) kerana penduduknya mempunyai jangka hayat yang lebih lama dan mempunyai kurang penyakit.
Hal ini kerana mereka memegang falsafah ikigai iaitu memaknai asbab hidup agar lebih berkualiti. Contoh ikigai mereka ialah pemakanan sihat dan membantu sesama lain.
Jelas sekali tujuan hidup atau ikigai seorang Muslim secara keseluruhan adalah untuk menjadi seorang hamba (‘abid) dan khalifah.
Namun dalam skop yang lebih kecil, iaitu dalam bulan Ramadan, haruslah seorang Muslim itu menilai semula hikmah mereka menempuhi 30 hari yang dicabar dengan kelaparan dan kehausan.
Tatkala perut kosong dan tekak kering, iaitu dalam kekurangan elemen asas kehidupan manusia, seharusnya seseorang itu mampu menjadi dirinya yang lebih baik apabila sudah memaknai ikigai berpuasa setelah keluarnya dari bulan Ramadan. Ketika itu, makan dan minum tidak lagi terlarang pada bila-bila waktu pun.
Apakah “ikigai” kita pada bulan Ramadan?
Perut yang kosong tidak dinafikan mampu menjadi halangan yang kecil untuk menempuhi hari-hari kita, sama ada tua atau muda.
Amat penting bagi seseorang untuk menemukan sebab untuknya menghadapi satu hari, dari saat ia membuka mata hinggalah saatnya dibuai mimpi. Namun persoalannya, apakah sebab sebenar kita menempuhi Ramadan? Bagaimanakah cara melaksanakannya pula?
- Meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah
Ramadan datang membawa ruang besar untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah. Solat sunat tarawih adalah satu tambahan ibadah yang dianggap sebagai ‘bonus’ kerana hadirnya cuma setahun sekali dan menyumbang kepada penambahan amalan seseorang pada bulan yang mulia ini.
Tidak kiralah lapan ataupun 20 rakaat, sesiapa pun sebaiknya mengambil kesempatan untuk menunaikan solat tarawih bersama masyarakat setempat di masjid atau surau, mahupun bersama keluarga di rumah.
Tadarus al-Quran juga merupakan perkara yang tidak asing dalam bulan Ramadan di samping tadabbur al-Quran. Kualiti bacaan al-Quran daripada sudut tajwid dan makhraj boleh ditingkatkan dalam sesi tadarus.
- Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara berdosa dan tidak bermanfaat
Kita berpuasa bukannya daripada makan dan minum saja, tetapi juga daripada nafsu yang sering ingin melakukan dosa.
Sekiranya seseorang itu biasa melakukan perbuatan berdosa, hendaklah ia melatih diri untuk menahan diri daripada melakukannya juga.
Sekiranya badan mampu menahan nafsu makan minum, iaitu nafsu kepada keperluan asas, maka seseorang itu juga mampu mengawal diri daripada nafsu yang bukan daripada keperluan asas, misalnya mengumpat, merokok apalagi mendekati zina.
Malahan, sesiapa pun harus mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang membuang masa seperti berbual kosong. Seharusnya masa itu terisi dengan perkara yang bermanfaat seperti membaca buku dan mendengar podcast ilmiah.
- Membantu dan berkhidmat untuk orang-orang di sekeliling kita
Ramadan turut memberi ruang untuk seseorang itu bersedekah kepada yang memerlukan. Lagi-lagi pada era yang moden ini, kita boleh saja memberi sumbangan untuk makanan berbuka puasa yang disediakan oleh mana-mana badan kebajikan.
Ia sangat mudah kerana seseorang itu cuma perlu membuat transaksi secara dalam talian. Ia sesuai buat mereka yang sangat sibuk dengan urusan seharian.
Selain itu, kita juga boleh menyediakan makanan untuk ahli keluarga dan jiran tetangga, jika kerahan tenaga mencukupi.
Tidak terkecuali, jika seseorang itu mempunyai masa yang lapang, ia boleh berkhidmat sebagai sukarelawan yang menyediakan makanan berbuka puasa bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Secara umumnya, kita seharusnya membantu orang sekeliling dalam apa-apa urusan harian seperti urusan kerja, pembelajaran mahupun kekeluargaan.
- Mengawal pemakanan pada waktu sahur dan berbuka
Setelah seharian berpuasa, tentu seseorang itu merasakan bahawa meskipun kita mampu makan dan minum dengan banyak, hakikatnya ia cumalah nafsu dan perasaan tamak.
Sebaiknya seseorang itu mengawal diri daripada makan terlalu banyak sehingga tidak berdaya untuk melakukan kerja dan ibadah.
Ramadan datang bukan untuk menguji setakat mana seseorang itu mampu menahan lapar dan dahaga, namun ia untuk menguji kemampuan seseorang mengawal serta merancang pemakanan agar badan bertenaga untuk beribadah pada waktu malam.
Contohilah gaya hidup masyarakat Okinawa yang cuma makan sehingga perut penuh sebanyak 80 peratus.
- Memaknai erti maghfirah pada Ramadan
Maghfirah bererti pengampunan Allah terhadap dosa-dosa kita yang akan dicatat namun tidak akan dijatuhkan hukuman.
Kita seharusnya bersungguh-sungguh bertaubat dan insaf akan dosa kita kepada-Nya. Namun begitu, tidak dilupakan juga hubungan sesama manusia. Jikalau kita ada melakukan dosa kepada sesiapa, perbaikilah hubungan dengan mereka dengan meminta maaf atas kesalahan kita.
Begitu juga sebaliknya, maafkanlah mereka yang telah menyakiti kita. Hayatilah kisah Nabi Yusuf a.s. memaafkan saudaranya yang telah mengkhianatinya.
Justeru, daripada kekosongan perut ketika berpuasa, terbitlah kekenyangan jiwa untuk memenuhi tuntutan Ilahi.
Marilah sama-sama memaknai ikigai untuk dituai seusai tamatnya Ramadan. Janganlah kita lepaskan peluang setahun sekali untuk memperbaharui kualiti diri dan hidup ini, insya-Allah.
Salam Ramadan.
Jazmine Johanni Puriantoh
IKRAM Luar Negara (IMAN) – Jerman