Ijtihad kontemporari satu keperluan penting masa kini

Ijtihad dari segi bahasa bermakna pengerahan segala keupayaan untuk mendapatkan sesuatu yang sulit.

Dari segi istilah pula ijtihad bermaksud penelitian dan pemikiran untuk mendapatkan sesuatu yang hampir dengan syariat berdasarkan al-Quran, as-Sunnah serta prinsip dan kaedah syariat dalam berhadapan dengan situasi baru untuk mencapai maslahat insan[1]. 

 

Ijtihad bertujuan mencari hukum syarak yang berbentuk praktikal dengan melakukan proses istinbat[2].

Jalan-jalan ijtihad

Sepanjang sejarah tamadun Islam, ulama dan sarjana Islam melakukan ijtihad melalui empat jalan:

Pertama, memahami kandungan al-Quran dan as-Sunnah bagi dipraktikkan dalam kehidupan.

Kedua, memahami dan membangun tasawur Islam yang diterapkan dalam kehidupan dan kegiatan ilmu.

Ketiga, mengkaji unsur-unsur luar dan menyaringnya dengan tasawwur Islam untuk diadaptasikan dalam kehidupan.

Keempat, menyediakan metodologi dan prinsip asas bagi tujuan penghayatan agama dan penyelesaian masalah umat Islam[3].

Al-Qaradawi menyatakan bahawa ijtihad semasa ialah usaha penyaringan semula fiqh klasik berasaskan nilai semasa atau mencari jawapan terhadap persoalan semasa yang wujud dalam kehidupan umat Islam masa kini[4].

 

Ijtihad diperlukan untuk mencapai pelaksanaan syariat Islam. Menurut beliau, ijtihad yang tepat dan relevan akan yang menjadikan Islam ini mekar dan mampu untuk menghadapi permasalahan dan krisis baru seterusnya sesuai dipraktikkan pada setiap waktu dan lokasi[5].

 

Perkembangan dunia globalisasi dan kemajuan sains teknologi menimbulkan banyak isu dan persoalan hukum baharu, telah menyebabkan keperluan untuk melakukan ijtihad oleh ulama dan sarjana semasa.

 

Ijtihad kontemporari yang kontekstual perlu dirangka untuk disesuaikan dengan tempat dan zaman. Tambahan pula wujudnya variasi bidang baharu seperti farmaseutikal, pemakanan, politik dan pentadbiran serta ekonomi, kewangan dan perbankan yang memerlukan anjakan dalam ijtihad pada hari ini[6].

 

Dalam kecelaruan politik dan pemerintahan negara-negara Islam pada hari ini, ramai mujtahid, sarjana, cendekiawan dan pemimpin masyarakat Muslim yang melakukan kajian, penelitian dan eksperimen dalam mencari penyelasaian kepada kemelut yang berlaku pasca kolonialisme.

 

Tiga idea atau gagasan berkaitan pentadbiran dan politik mula menjadi perbahasan hangat dalam kalangan ulama dan akademia Islam kontemporari.

 

1. Maqasid syariah asas tadbir urus masyarakat, negara

 

Pertama, galakan dan anjuran agar pemerintah negara dan pemimpin masyarakat serta parti politik menjadikan maqasid syariah sebagai asas dalam mengatur, mengurus dan mengarahkan kehidupan masyarakat dan negara[7].

 

Abu Zahrah mentakrifkan maqasid syariah dalam politik dan pentadbiran sebagai ijtihad dengan menggunakan fikiran melalui penelitian untuk mengetahui dasar atau tindakan yang menepati kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

 

Caranya ialah sama ada dengan merujuk kepada nas tertentu iaitu yang dikenali sebagai qiyas, ataupun dengan merujuk kepada objektif umum syariah iaitu maslahah[8].

 

Maqasid syariah menggalakkan kajian serius dijalankan dan penetapan dasar yang holistik mencakupi pelbagai sudut kehidupan. Tidak mungkin isu perubatan berbangkit tanpa dibahas isu ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, pendidikan dan lain-lain. Sepertimana isu kesenian, ia juga terkait dengan ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, budaya dan seterusnya.

 

Jangkauan maqasid syariah adalah tidak terhad, skop perbincangannya sangat meluas malah mempunyai hubung kait antara kesemua aspek yang dilihat sebagai maslahah dan nilai positif dalam masyarakat[9].

 

2. Pelaksanaan siasah syar’iyyah dalam pentadbiran

 

Kedua, saranan oleh ulama dan sarjana Islam agar siasah syar’iyyah dilaksanakan dalam pentadbiran di Malaysia. Siasah syar‘iyyah merupakan kaedah pentadbiran dan pemerintahan negara menurut perspektif Islam[10]. Fuqaha menamakan politik Islam sebagai siasah syar’iyyah.

 

Siyasah syar’iyyah membahaskan sistem, peraturan dan undang-undang dalam urusan negara yang bertepatan dengan Islam dan dapat merealisasikan kemaslahatan dan menjaga kepentingan seluruh manusia[11] berpandukan kepada al-Quran, as-Sunnah atau ijtihad[12].

 

Al-Qaradawi mendefinisikan siasah syar’iyyah sebagai sistem politik yang menjadikan syariat sebagai teras, kembali dan bersandar kepadanya, mengaplikasikannya di muka bumi, melaksanakan ajaran-ajaran dan prinsipnya di tengah masyarakat, sekali gus sebagai matlamat dan sasaran sistem dan tatacaranya.

 

Beliau mencadangkan agar amalan mengadu domba, berdusta, menebar fitnah, pembunuhan karakter, menganiaya, mengancam dan pembunuhan ahli politik atau pemimpin masyarakat dikurangkan dan akhirnya hilang.[13]

 

3. Tahaluf siyasi

 

Ketiga, praktis tahaluf siyasi oleh parti politik Islam dengan parti politik bukan Islam. Tahaluf siyasi secara umum adalah diplomasi politik, kompromi politik, kerjasama politik, koalisi politik, pakatan politik dan integrasi politik.

 

Gabungan itu berbentuk kesatuan sementara di antara dua pihak atau lebih dalam parti-parti politik bagi membina kekuatan dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan yang dikongsi. Ia adalah sebuah strategi politik dengan cara bekerjasama dengan kumpulan lain untuk mencapai matlamat yang sama[14].

 

Menurut al-Qaradawi, struktur politik Islam mestilah dibina berasaskan prinsip keseimbangan iaitu fiqh tawazun yang mana undang-undang dan sistem pemerintahan berdiri atas persetujuan bersama atau konsensus antara rakyat Muslim dan bukan Muslim dalam negara.

 

Tahaluf siyasi dibenarkan oleh syarak dan undang-undang untuk menetapkan kepimpinan Islam yang mampu memberikan respons positif dalam menghadapi situasi sukar untuk menjaga kepentingan semua pihak dalam negara[15].

 

Ijtihad kontemporari telah menjadi satu keperluan yang amat penting dalam kehidupan serba moden masyarakat Muslim dan dunia pada hari ini.

 

Kepesatan pembangunan, perubahan dan perkembangan tamadun manusia dalam segenap bidang kehidupan memerlukan kepada pandangan yang relevan dan tepat daripada para mujtahid dalam memberikan hukum berkaitan perbuatan amalan dan pelbagai perkara baru dewasa ini. 

           

Golongan ahli akademik khususnya dalam bidang pengajian Islam adalah terbeban dengan tanggungjawab untuk menguasai Usul Fiqh dan Qawaid Fiqhiyyah.

 

Seterusnya, kita perlulah bijak dan matang dalam menyepadukan ilmu Islam dengan ilmu sains teknologi perubatan dan sebagainya dalam mengeluarkan hukum asas dan garis panduan praktis kehidupan yang patuh syariah kepada masyarakat Muslim.

 

Umar Izzat Basir
Eksekutif Syariah Hong Leong Islamic Bank

 Rujukan:

[1] Abd Wafi Has, Ijtihad Sebagai Alat Pemecahan Masalah Umat Islam, Sekolah Tinggi KeIslaman Al-Hidayah, Jakarta, 2013, hal:91.

[2] Muhammad Ikhlas Rosele, Mohd Farhan Md Ariffin, Mohd Anuar Ramli dan Mohamad Zaim Isamail, Pendekatan Ijtihad Kontemporari Dalam Isu Semasa di Malaysia, Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 2016, hal: 55.

[3] Prof. Dr Badlihisyam Mohd Nasir, Penyelidikan Dalam Pengajian Islam Era Kontemporari : Harapan & Hala Tuju, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, tanpa tahun, hal: 2. 

[4] Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid, Aplikasi Fiqh Kontemporari Dalam Menangani Persoalan Hukum Baru Kefatwaan, International Institute of Advanced Islamic Studies, Kuala Lumpur, 2016, hal: 1.

[5] Nasrul Hisyam Nor Muhamad, Pandangan Yusuf al-Qaradawi Terhadap Fiqh Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, hal: 72.

[6] Muhammad Ikhlas Rosele, Mohd Farhan Md Ariffin, Mohd Anuar Ramli dan Mohamad Zaim Ismail, Pendekatan Ijtihad Kontemporari Dalam Isu Semasa di Malaysia, Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 2016, hal: 53.

[7] Jasser Auda, Negara Madani Dalam Kerangka Maqasid Syari’ah, Maqasid Institute Malaysia, 2017, hal:17.

[8] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Maqasid Al-Shariah: Satu Pengenalan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, 2012, hal: 39.

[9] Jasser Auda, Negara Madani Dalam Kerangka Maqasid Syari’ah, Maqasid Institute Malaysia, 2017, hal:17.

[10] Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir dan Shukeri Mohamed, Perlaksanaan Siyāsah Syar‘iyyah Dalam Pentadbiran Di Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009, hal:60.

[11] Abd Jalil Borham, Konsep Siyasah Syar`iyyah dan Pelaksanaannya Dalam Konteks Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, 2013, hal: 2.

[12] Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir dan Shukeri Mohamed, Perlaksanaan Siyāsah Syar‘iyyah Dalam Pentadbiran Di Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009, hal:60.

[13] Abd Jalil Borham, Konsep Siyasah Syar`iyyah dan Pelaksanaannya Dalam Konteks Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, 2013, hal: 5.

[14] Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib dan Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Pasca-Islamisme dalam PAS: Analisis Terhadap Kesan Tahalluf Siyasi, International Journal of Islamic Thought, 2015, hal: 54.

[15] Lukman Thaib, Political Power-Sharing from Islamic Perspective (Tahaluf al-Siyasi Fi al-Islam): Muslim’s Experience in Malaysia, Journal of Islamic Studies and Culture, 2014, hal: 25. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia