Ibrah Kisah An-Nu’aiman: Larangan Mencela Pendosa

Ibrah Kisah An-Nu’aiman: Larangan Mencela Pendosa | IKRAM

An-Nu’aiman ibnu Amr al-Ansary r.a. merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW yang pada satu ketika sukar untuk meninggalkan ketagihan meminum arak. Kerap kali beliau melakukan kesalahan yang sama dan dihukum dengan kesalahan tersebut.

Sikap an-Nu’aiman telah menimbulkan rasa marah dalam kalangan sahabat sehingga ada antara mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat dengan mendoakan laknat Allah SWT kepadanya. Namun, Rasulullah SAW melarang tindakan sahabat tersebut kerana menurut baginda, an-Nu’aiman masih mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Menyantuni semua watak sahabat

Terdapat tiga perkara yang boleh dipelajari daripada kisah an-Nu’aiman ini. Pertamanya, Rasulullah SAW dikelilingi para sahabat yang mempunyai pelbagai watak. Ada watak yang berhati lembut seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a, ada watak yang serius seperti Saidina Umar al-Khattab dan ada watak yang zuhud seperti Abu Dzar r.a.

An-Nu’aiman seorang yang berpewatakan kelakar dan suka bergurau serta sering membuat Rasulullah SAW tersenyum. Pernah berlaku gurauannya melampaui batas seperti menyembelih seekor unta seorang Arab Badwi apabila dicabar oleh sahabat yang lain. 

Rasulullah SAW menghukumnya dengan perlu membayar ganti rugi harga unta tersebut. Rasulullah SAW sangat bijak meraikan kepelbagaian watak sahabat, tanpa menyuruh mereka mengikuti watak Saidina Umar al-Khattab r.a, sebagai contoh, walau hakikatnya Nabi SAW mengakui kehebatannya.

Rasulullah SAW memberi kebebasan kepada para sahabat untuk hidup dengan watak sendiri. Walau bagaimanapun, ia perlu dipastikan tidak melampaui batasan hukuman syarak.

Islam tidak datang untuk membentuk satu watak kehidupan yang zuhud dan serius sahaja, namun Islam meraikan semua watak dengan harmoni dan sejahtera.

Jangan cela, doa keburukan orang lain

Pengajaran kedua daripada kisah an-Nu’aiman ialah Rasulullah SAW melarang tindakan mendoakan keburukan orang lain walaupun seseorang itu telah melakukan dosa besar.

Jenayah minum arak merupakan dosa besar berdasarkan hadis daripada Jabir r.a. Sabda Nabi SAW yang  bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?’ Baginda menjawab: ‘Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.’” (Riwayat Muslim)

Bukan itu sahaja, malah hukuman hudud bagi peminum arak ialah 40 kali sebatan.  An-Nu’aiman turut disebat dengan menggunakan selipar dan pakaian yang ada pada tangan sahabat ketika itu sebanyak 40 kali. 

Walaupun An-Nu’aiman secara jelas melakukan dosa besar, namun Rasulullah SAW melarang sahabat mendoakan keburukan untuknya.

Mendoakan keburukan atau mencela pelaku maksiat akan menjauhkan mereka daripada jalan Allah SWT. 

Seorang Muslim bertanggungjawab untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan, bukannya memberi hukuman kepada mereka. Pesalah hanya boleh dihukum setelah benar-benar didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan tersebut oleh hakim yang dilantik. 

Antara faktor yang mendorong seseorang mudah mencela orang lain adalah kerana perasaan kebencian, prasangka dan sikap sombong. Sentimen negatif terhadap kelompok tertentu akan mudah mendorong seseorang untuk menghina kelompok tersebut.

Selain itu, persekitaran sosial seseorang turut memainkan peranan dalam membentuk perilaku. Jika perbuatan menghina dan mencela telah menjadi kebiasaan dalam persekitarannya, orang tersebut lebih cenderung melakukannya serta tidak menyedari dia telah terkeluar daripada norma-norma akhlak murni.

Kesan daripada sikap suka mencela ini akan merosakkan emosi, bukan sahaja emosi orang yang dicela, malah turut memberi kesan negatif kepada emosi orang yang mencela. Sikap ini juga menjadi punca konflik yang berpanjangan sehingga memutuskan ikatan silaturahim.

Penting untuk kita sentiasa berusaha mempamerkan sikap saling menghormati, empati serta mewujudkan sikap berbaik sangka dan persekitaran yang positif. 

Mujahadah tinggalkan dosa, maksiat

Pengajaran ketiga daripada kisah an-Nu’aiman memperlihatkan bahawa tidak mudah untuk meninggalkan perkara maksiat dan dosa apabila ia telah menjadi rutin kehidupan.

Bukan melakukan kebaikan sahaja akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT, malah meninggalkan maksiat juga akan diganjari pahala oleh-Nya. 

Allah SWT berfirman (kepada malaikat) yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku ingin berbuat dosa, jangan kalian mencatatnya sampai dia mengerjakannya. Jika dia mengerjakannya, maka catat senilai amalnya. Namun, jika dia meninggalkannya kerana (takut kepada)-Ku, catatlah sebagai amal kebaikan.” (Riwayat Bukhari)

Meninggalkan dosa kerana takut kepada Allah SWT merupakan syarat ia menjadi amal yang berpahala, bahkan termasuk amal yang tinggi nilainya. Namun, nilai yang diperoleh daripada amalan bergantung pula pada niatnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Amal itu bergantung pada niat, dan apa yang diperoleh seseorang sesuai dengan niatnya.” (Riwayat Bukhari)

Seseorang yang bercakap perkara kebaikan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.  Seseorang yang manahan diri daripada bercakap perkara keburukan juga akan diganjari Allah SWT dengan pahala.

Mujahadah bukan sahaja perlu dilakukan pada saat berusaha untuk berbuat kebaikan, malah mujahadah juga sangat diperlukan saat berusaha untuk meninggalkan tabiat dosa dan maksiat. 

An-Nu’aiman diganjari pahala apabila dia bermujahadah untuk meninggalkan tabiat minum arak. Begitu juga seseorang diganjari pahala apabila bermujahadah untuk tidak mencela dan memaki orang lain yang selama ini menjadi tabiat buruknya. 

Pesan Buya Hamka: 

“Dakwah itu membina, bukan menghina. 

Dakwah itu mengubati, bukan melukai. 

Dakwah itu mengukuhkan, bukan meruntuhkan. 

Dakwah itu saling menguatkan, bukan saling melemahkan. 

Dakwah itu mengajak, bukan mengejek. 

Dakwah itu saling belajar, bukan saling bertengkar. 

Dakwah itu menasihati, bukan mencaci maki. 

Dakwah itu merangkul, bukan memukul. 

Dakwah itu bergerak cepat, bukan sibuk berdebat.

Dakwah itu berlumba dalam kebaikan, bukan berlumba saling menjatuhkan. 

Dakwah itu pandai memikat, bukan mahir mengumpat.”

Marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran daripada segala kebaikan yang telah ditinggalkan Nabi SAW kepada sahabat-sahabat baginda. Allahua’lam.

Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia