Ibadah Haji dan Umrah: Syariat yang Perlu Difahami

Perbuatan yang melambangkan ketaatan yang juga dinamakan sebagai ibadah adalah penghubung antara manusia dengan Tuhan. Ketaatan yang diluhurkan kepada Tuhan tercipta atas manifestasi keimanan yang kuat.

Dalam Islam, ibadah dapat dibahagikan kepada empat bentuk utama. Pertama, disebut sebagai ibadah Qalbiyah (ibadah yang melibatkan jantung hati) seperti rasa syukur, sabar dan ikhlas. 

Kedua, dinamakan sebagai ibadah Amaliyah (ibadah yang melibatkan perbuatan) seperti solat dan puasa. Ketiga ialah ibadah Qauliyah (ibadah yang melibatkan ucapan) seperti zikir dan doa. 

Keempat ialah ibadah Maaliyah (ibadah yang melibatkan harta) seperti zakat dan sedekah. Pada ibadah haji dan umrah, terangkum di dalamnya semua bentuk peribadatan tersebut dan ia dianggap sebagai kemuncak ketaatan kepada Allah.

Haji dan umrah merupakan ibadah yang mempunyai sejarah terpanjang. Dalam catatan lembaran ahli sejarah, ibadah haji dan umrah bukanlah suatu ibadah baharu, bahkan telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu.

Ibadah haji: Pandangan utama

Menurut pandangan majoriti ulama, ibadah haji disyariatkan pada tahun kesembilan Hijrah. Ungkapan “haji” berasal daripada bahasa Arab. Pada sudut pemahaman bahasa, Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisan al-Arab menyatakan bahawa haji membawa maksud menuju atau mengunjungi sesuatu tempat.

Selain itu, Ibnu Faris dalam kitabnya, Maqayis al-Lughah, menyebut pula bahawa haji ialah menuju ke Baitul Haram bagi mengerjakan manasik. 

Perkataan haji dalam pemahaman istilah pula dapat dibahagikan kepada empat pandangan utama.

Pandangan pertama sebagaimana yang dinukilkan oleh Abu al-Barakat an-Nasafi dalam kitabnya, Kanz al-Daqa’iq, dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, bahawa haji difahami sebagai menziarahi tempat tertentu pada masa tertentu dengan amalan tertentu.

Pandangan kedua seperti yang dinyatakan oleh Syeikh ad-Dardir dalam kitab asy-Syarh al-Kabir li asy-Syeikh ad-Dardir wa Hasyiah ad-Dusuqi, ulama mazhab Maliki memahami haji sebagai berwukuf di Arafah, mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, melakukan sa’i antara Safa dan Marwah, demikianlah juga dalam bentuk tertentu dengan berihram.

Selain itu, pandangan ketiga pula, di sisi ulama mazhab asy-Syafii, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Muktamad fi al-Fiqh asy-Syafii, haji membawa maksud mengunjungi Kaabah bagi mengerjakan manasik atau menuju ke Makkah bagi mengerjakan amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu.

Pandangan keempat pula seperti yang dijelaskan oleh al-Buhuti dalam kitab Syarh Muntaha al-Iradat, pada sisi ulama mazhab Hanbali menyebut bahawa haji sebagai mengunjungi Makkah bagi mengerjakan amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu.

Berdasarkan definisi yang pelbagai dikemukakan, dapat dirumuskan bahawa ibadah haji  bermaksud suatu perjalanan menuju ke tempat tertentu iaitu Baitullah dan Arafah, pada waktu-waktu tertentu iaitu bulan-bulan haji bagi tujuan melakukan amalan-amalan khusus iaitu berwukuf di Arafah, ibadah tawaf, ibadah sa’i serta amalan haji yang lain dengan syarat-syarat yang khusus. Ibadah haji adalah salah satu rukun Islam.

Oleh itu, ibadah haji menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam baik lelaki mahupun perempuan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Pelaksanaan ibadah haji adalah wajib hanya sekali seumur hidup.

Jika dilakukan lebih daripada sekali hal tersebut dikira sebagai sunat. Pensyariatan ibadah haji berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengikat pelaksanaan ibadah haji dengan syarat berkemampuan. Menurut Ibn Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla, yang dimaksudkan oleh Allah pada perkataan berkemampuan tersebut bukanlah pada kekuatan jasmani. Alasannya, Allah SWT tentu sekali tidak akan pernah membebankan seseorang melainkan apa yang mampu ditanggungnya.

Selain itu, Imam Ibn Kathir pula menyebut dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim, kemampuan bermaksud kekuatan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah menyebutkan bahawa maksud kemampuan itu terbahagi kepada dua iaitu kemampuan secara langsung dengan dirinya dan kemampuan untuk mengerjakan dengan orang lain.

Kemampuan dengan dirinya pula ialah seperti mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang ditinggalkan. Selain itu, mampu mendapatkan kenderaan untuk pergi dan balik, sihat tubuh badan, aman dalam perjalanan serta berkesempatan masa.

Hukum ibadah umrah

Perkataan “umrah” pula juga berasal daripada bahasa Arab. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, umrah bermaksud ziarah. Manakala umrah pada sudut istilah pula seperti yang telah disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah dan sa’i di antara Safa dan Marwah dengan ihram.

Berkenaan hukum melaksanakan ibadah umrah, ia berbeza dengan ibadah haji apabila para ulama berselisih pendapat mengenai hukum melaksanakannya. Pendapat pertama, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Bakar al-Kasani, di sisi ulama mazhab Maliki dan majoriti ulama mazhab Hanafi, hukum melaksanakan umrah adalah sunat dan tidak wajib.

Majoriti ulama mazhab Hanafi pula menambah, ia adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Selain itu, terdapat sebahagian lagi ulama dalam mazhab Hanafi menyatakan hukum umrah adalah wajib sekali seumur hidup.

Pendapat kedua, di sisi pandangan yang lebih kuat dalam mazhab Syafii dan mazhab Hanbali, hukum melaksanakan umrah adalah fardu. Pendapat ini juga telah dipilih oleh Imam al-Bukhari. Berdasarkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa pendapat yang sahih dalam mazhab Syafii dengan kesepakatan para ashab (ulama mazhab Syafii) bahawa hukum umrah adalah fardu.

Pendapat ini juga merupakan pendapat Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Jabir, Tawus, Imam Hassan al-Basri, Ibn Sirin dan lain-lain. Selain itu, an-Nawawi juga menyebut umrah adalah difardukan kepada mereka yang mampu sama sepertimana kefarduan ibadah haji.

Imam Ibnu Qudamah pula dalam kitabnya, al-Mughni, menjelaskan bahawa umrah diwajibkan ke atas sesiapa yang diwajibkan haji. Demikianlah bagaimana para ulama berbeza pendapat dalam menyatakan hukum melaksanakan ibadah umrah.

Kesimpulan

Secara jelas, boleh kita simpulkan bahawa hukum melaksanakan ibadah haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup dan jika dilakukan berulangan, maka ia dikira sunat.

Dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah, terdapat beberapa perbezaan yang membezakan antara kedua-duanya. Antara perbezaan tersebut ialah ibadah haji dilakukan pada bulan-bulan haji sahaja iaitu bermula pada 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijah. 

Berbeza pula dengan ibadah umrah yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Selain itu, ibadah haji tanpa berbeza pendapat, hukumnya wajib bagi mereka yang mampu manakala ibadah umrah pula ada yang menyebut hukumnya sunat menurut pandangan mazhab Maliki dan Hanafi.

Tambahan lagi, ibadah haji padanya memerlukan kita untuk berwukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijah, bermalam di Muzdalifah dan Mina selain perlu melakukan ibadah melontar di Jamrah.

Berbeza dengan ibadah umrah yang padanya tidak perlu kepada perkara yang dinyatakan tadi. Demikian antara yang dapat disebut mengenai perbezaan dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Sesungguhnya pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang menjadi lambang syiar agama Islam menjadi cita-cita dan impian kebanyakan orang Islam. Semoga Allah permudahkan bagi kita menjejak kaki ke sana. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia